“SUASANA di gimnasium kembali hangat dan saya semakin bersemangat untuk berlatih.”
Berikut merupakan luahan oleh seorang atlet angkat berat negara, Mohamad Aniq Kasdan ketika ditemui di Majlis Anugerah Sukan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) pada Selasa.
Aniq jelas merupakan antara insan yang teruja apabila tujuh pelapis angkat berat baharu kini sedang menghidupkan semula kem latihan sejurus berada di bawah pengawasan jurulatih pelapis, Mohd Rizal.

Erry Hidayat sedang melakukan sesi latihan angkat berat di gimnasium MSN.
Hal ini kerana sebelumnya, hanya tiga ‘muka sama’ sahaja yang berlatih bersama setiap hari iaitu Aniq, Muhammad Erry Hidayat dan juga Muhamad Aznil Bidin.
Lebih manis dan menarik, dua daripada tujuh pelapis baharu itu adalah atlet angkat berat wanita yang bakal menyinarkan pentas-pentas kejohanan angkat berat di Malaysia mahupun luar negara.
“Adanya pelapis baru, saya rasa semakin gembira. Suasana di gimnasium juga kembali hangat dan saya semakin bersemangat untuk berlatih. Contohnya, ketika saya mahu angkat berat, ramai yang akan sokong saya di situ.

Aniq Kasdan yang teruja apabila kem latihan angkat berat kembali ramai.
“Apa angkatan yang kami buat juga boleh dijadikan tauladan dan contoh buat pelapis-pelapis baru ini,” ujar Aniq Kasdan selaku Olahragawan UiTM 2023.
Terdahulu, FLASH SUKAN juga ada melaporkan ura-ura mengenai kem angkat berat yang bakal diwarnai lagi dengan kedatangan wajah-wajah baharu.
Tetapi tidak seperti yang dijangka, sebelum bulan Mac lagi mereka sudah memulakan sesi latihan di gimnasium MSN.
Artikel Berkaitan: Kem latihan angkat berat negara dijangka lebih meriah Mac ini