Barcelona’s team celebrates winning the 2025-2026 Spanish League after the Spanish league football match between FC Barcelona and Real Madrid CF at Camp Nou Stadium in Barcelona on May 10, 2026. (Photo by Josep LAGO / AFP)
Barcelona mengesahkan kejuaraan La Liga musim 2025/2026 selepas menundukkan seteru utama, Real Madrid CF 2-0 dalam aksi El Clasico yang berlangsung di Camp Nou awal pagi tadi.
Kemenangan itu membolehkan skuad kendalian Hansi Flick merangkul gelaran liga buat musim kedua berturut-turut selain memastikan trofi ke-29 La Liga menjadi milik kelab Catalan berkenaan.
Ia hanya kali kedua dalam sejarah keputusan La Liga ditentukan secara langsung menerusi El Clasico, selepas Real Madrid meraih gelaran pertama mereka pada 1932 hasil keputusan seri menentang Barca.
Barcelona tampil cukup agresif sejak awal permainan dan berjaya memecahkan kebuntuan menerusi Marcus Rashford yang menyempurnakan sepakan percuma menarik dari luar kotak penalti.
Tidak lama kemudian, Ferran Torres menggandakan kelebihan tuan rumah selepas bijak memanfaatkan gerakan yang direncanakan Dani Olmo.
Keputusan tersebut meletakkan Barcelona selesa di puncak liga dengan kelebihan 14 mata berbanding Real Madrid meskipun saingan masih berbaki tiga perlawanan.
Lebih manis, kejayaan itu hadir di hadapan penyokong sendiri dalam aksi penuh berprestij menentang musuh tradisi mereka.
Pemain tengah Barcelona, Frenkie de Jong menyifatkan kemenangan itu sebagai detik istimewa buat pasukan selepas berjaya menamatkan saingan domestik dengan penuh bergaya.
“Menang liga dengan menewaskan Real Madrid di stadium sendiri memang cukup bermakna. Kami mahu meraikannya bersama penyokong kerana pasukan ini sudah bekerja keras sepanjang musim,” katanya.
Dalam pada itu, Flick tetap turun membimbing pasukan walaupun menerima khabar duka mengenai pemergian bapanya sebelum perlawanan berlangsung.
Pengendali dari Jerman itu memuji semangat pemainnya yang terus fokus meskipun berdepan tekanan besar menjelang aksi penting tersebut.
Barcelona turut turun tanpa bintang muda, Lamine Yamal yang mengalami kecederaan, namun keputusan mempertaruhkan Rashford di posisi sayap nyata memberikan impak besar kepada jentera serangan pasukan.
Sementara itu, Real Madrid pula terus bergelut apabila menamatkan musim tanpa sebarang trofi utama dengan pengendali interim, Alvaro Arbeloa mengakui pasukannya perlu bangkit dan memperbaiki kelemahan menjelang musim depan.