MEMAKSA diri untuk bertahan pada 15 saat terakhir meskipun kesakitan, cukup berbaloi apabila karateka negara, Muhammad Arif Afifuddin Ab Malik merangkul pingat emas kumite lelaki, bawah 84 kilogram (kg).
Kejayaan Muhammad Arif Afifuddin itu membolehkan skuad karate, kembali menyumbang emas selepas gagal berbuat demikian apda edisi Jakarta-Palembang, lima tahun lalu.
Emas terakhir negara menerusi sukan karate adalah pada 2014 di Incheon, Korea Selatan ketika kontinjen negara membawa pulang dua emas dan dua perak.
“Emas ini sangat bermakna dan saya dedikasikan kepada ibu bapa saya, kerana mereka sentiasa di sisi, di Kemboja (Sukan SEA) mereka datang tapi saya kalah,
“Walaupun mereka tak datang ke sini, saya pasti mereka amat berbangga,” kata Muhammad Arif Afifuddin, selepas mengatasi Daniyar Yuldashev dari Kazakhstan, 10-4.
Karateka negara itu berhenti seketika pada penghujung perlawanan, gara-gara ditumbuk Daniyar sehingga bengkak pada mata kanan dan diperiksa doktor pertandingan.
“Insiden itu berlaku ketika saya melakukan teknik menyerang, dia cuba menghadang tetapi tertumbuk mata saya dengan kuat, sakit tapi masa tinggal lagi 15 saat, jurulatih Tamer Abdelraouf Mohamed Mourssy minta saya push,” katanya.
Perjalanan karateka berusia 23 tahun itu ke Sukan Asia Hangzhou, agak berliku kerana dibelenggu kecederaan dan kurang masa untuk melakukan persiapan.
Malah, kecederaannya belum pulih, namun dia tetap mahu mengambil bahagian, “Nak datang sini mencabar, saya tak dapat jalani latihan ekrana masalah kecederaan pada bahagian bawah belakang, rusuk yang saya alami ketika menjalani latihan, kira-kira sebulan lalu.
“Masih belum pulih tapi saya ambil ubat penahan sakit ketika berlawanan.”
Setakat ini, skuad karate menyumbang satu emas menerusi Muhammad Arif Afifuddin dan dua perak menerusi acara kata individu wanita dan berpasukan wanita.
Pada Temasya Incheon 2014, atlet kata lelaki, Lim Chee Wei dan kumite bawah 61kg wanita, Syakilla Salni menyumbang pingat emas, manakala dua gangsa disumbangkan menerusi Shree Sharmini Segaran (kumite B-68kg wanita) danSenthil Kumaran Silvarajoo (kumite B-55kg lelaki).