KETUA Jurulatih Polis Diraja Malaysia (PDRM), Azzmi Aziz bangga kerana skuad kendaliannya memperagakan aksi terbaik ketika menewaskan Kedah Darul Aman FC 1-0 di Alor Setar pada Sabtu malam.
Semangat dan kesungguhan pemain untuk mengikuti taktikal bertahan dengan kompak di separuh masa pertama berjaya mengukir senyuman dalam kem PDRM apabila berjaya mengutip tiga mata penuh di akhir perlawanan.
“Saya sangat gembira mereka cuba belajar. Mereka cuba faham bagaimana kita hendak majukan pasukan ini. Bukan mudah dengan pemain yang baharu bermain di Liga Super.
“Anggota polis, bukan kita hendak menafikan mereka tetapi ia tidak mudah. Dengan skuad sebegini, kita tahu kita punya nilai sangat rendah. Kita tidak belanja dengan besar. Tetapi dengan sokongan pengurusan dan iltizam pemain yang membawa kemenangan kepada kami,” jelas Azzmi.
Bagaimanapun, pengendali berusia 47 tahun itu berkata pasukannya hadir ke Alor Setar dengan persiapan rapi, termasuk membuat perancangan teliti selepas menganalisa corak permainan KDA FC bagi memburu mata.
“Kita analisa dan tengok perlawanan Kedah dengan Terengganu sebelum ini, kita cuba kawal dia punya serangan dan Alhamdulillah dapat gol dan tiga mata,” ujarnya.
Sementara itu, Penolong Jurulatih Kedah Darul Aman FC (KDA) FC, Victor Andrag mengakui layangan kad merah kepada jurulatih, Muhammad Nafuzi Mohd Zain dan kapten pasukan, Manuel Gelito Ott merupakan antara impak kepada kekalahan KDA FC ketika melayan kunjungan PDRM pada Sabtu.
Keterujaan KDA FC pasukan untuk mencari gol akhirnya memberi padah apabila mereka dilihat gagal merencana permainan dengan teratur.
“Sebenarnya, saya rasa dalam permainan kalau seseorang dikeluarkan ia akan bagi impak yang besar dalam pasukan. Tambah lagi apabila ketua jurulatih dan pemain tonggak, pemain kita tidak dapat kawal perasaan kerana beberapa insiden di gelanggang. Saya harap kita dapat ambil pengajaran dari perlawanan ini.
“Kita teruja untuk mencari gol kerana bermain sebagai tuan rumah. Emosi kita letak ke tepi. Tetapi, disebabkan keterujaan untuk mendapatkan gol, itu menyebabkan pemain kita menjadi tidak teratur,” kata Victor.
Biarpun tewas, Victor menzahirkan penghargaan kepada penyokong dan menyeru mereka meneruskan sokongan jitu kepada pasukan kerana saingan liga masih lagi di awal musim serta pemain berazam akan bangkit dalam perlawanan seterusnya.
“Terima kasih kepada penyokong. Ini dimana kita perlukan penyokong. Pemain telah tunjukkan dalam gelanggang. Biarpun kalah, jangan mudah putus asa kerana kita ada masa yang lebih panjang lagi. Kita harus bangkit,” ulasnya.