AKSI suku akhir kedua Piala Malaysia antara Selangor FC dan Negeri Sembilan FC dijangka berlangsung dalam suasana cukup meriah selepas semua tiket perlawanan itu dilaporkan habis dijual.

Perkembangan berkenaan diumumkan Selangor menerusi kemas kini di platform rasmi kelab itu pada Jumaat, sekali gus membuktikan keterujaan luar biasa penyokong untuk menyaksikan pertembungan dua pasukan berkenaan.

Menurut kelab berstatus Gergasi Merah itu, sambutan yang diterima amat menggalakkan dan pihaknya merakamkan penghargaan kepada penyokong yang sentiasa berdiri teguh di belakang pasukan.

“Tiket Selangor vs Negeri telah habis dijual. Terima kasih kepada semua penyokong yang telah mendapatkan tiket untuk perlawanan suku akhir timbal balik Piala Malaysia menentang Negeri Sembilan FC di Stadium MBPJ. Jumpa anda esok!,” menurut kenyataan itu.

Pertembungan membabitkan kedua-dua pasukan sememangnya menjadi antara tumpuan utama musim ini selepas mereka sudah lima kali bertemu dalam saingan Liga Malaysia.

Setiap perlawanan terdahulu menyajikan aksi kompetitif dan dramatik, menjadikan pertemuan kali ini dinanti-nantikan peminat yang mengharapkan satu lagi persembahan berkualiti tinggi.

Dengan tiket sudah pun habis, Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya dijangka dipenuhi lautan penyokong yang bersedia meniup semangat kepada pemain masing-masing.

Sorakan padu daripada penyokong tuan rumah pastinya diharap mampu menjadi tonik tambahan buat Selangor dalam usaha memastikan kemaraan ke peringkat seterusnya.

Aksi suku akhir kedua itu dijadual berlangsung pada Sabtu dengan sepak mula pada jam 9 malam dengan Selangor kini mendahului 1-0 secara agregate.