BINTANG skuad Harimau Malaya dan Johor Darul Ta’zim, Arif Aiman Hanapi memang menjadi fenomena penyokong Malaysia kerana kehebatan dan kelincahan beraksi atas padang.
Pengikutnya terdiri daripada semua golongan termasuk wanita dan kanak-kanak.
Pemain Junior kelab Qatar, Al-Arabi Sports Club, Ahmad Qiyyam Darwish Ahmad Syukri mengakui teringin berjumpa Arif Aiman secara empat mata dan berharap dapat mengumpul tandatangan idolanya itu.
“Betul, saya suka permainan Arif Aiman. Saya melihat aksinya di kaca televisyen bersama Malaysia.
“Saya memang seronok dapat peluang bermain dengan kelab besar di Qatar. Suasana dan budaya berbeza dengan Malaysia.
“Saya juga berpeluang menyaksikan kejohanan seperti Piala Dunia, Piala Asia AFC, Piala Kelab Dunia,” katanya sambil dibantu bapanya, Ahmad Syukri ketika ditemui FLASH SUKAN.
Darwish yang berusia enam tahun turut meminati Darren Lok dan Safawi Rasid dalam pasukan Harimau Malaya dan tidak akan melepaskan peluang menyaksikan aksi pusingan akhir Piala Asia di Qatar bulan ini.
Sementara itu, Ahmad Syukri mendedahkan cara bagaimana kelab Qatar menguruskan pemain muda dalam mencungkil bakat mereka ke paras lebih tinggi.
“Sini lebih banyak kelab dibawah kelolaan QFA dan akademi persendirian yang menawarkan latihan untuk anak-anak seawal usia empat tahun,
jika bernasib baik, mereka diberi peluang untuk bermain di dalam kelab-kelab tempatan hingga ke peringkat yang lebih tinggi.
“Kelab bola di Qatar ini dibiayai oleh kerajaan, penaja, syarikat dan juga orang persendirian, selain dilengkapi infrastruktur yang lengkap dan bertaraf antarabangsa, kesan yang positif daripada penganjuran Piala Dunia 2022 tempoh hari.
“Semua ini berfungsi dapat membantu dalam perkembangan industri bola sepak pendedahan di peringkat antarabangsan dan juga mempengaruhi corak permainan dan pendedahan asas terhadap bola sepak,” katanya lagi.