Cadangan FIFA untuk menubuhkan FIFA Forward Enterprise (FFE), sebuah entiti komersial baharu yang bakal mengurus hak komersial Piala Dunia dan beberapa kejohanan utama FIFA, terus menerima tentangan apabila Konfederasi Bola Sepak Amerika Utara, Tengah dan Caribbean (CONCACAF) secara rasmi menolak rancangan berkenaan.
Menerusi kenyataan selepas mesyuarat melibatkan 41 persatuan ahlinya, CONCACAF menyuarakan kebimbangan terhadap proses cadangan itu yang disifatkan tidak telus selain dibuat tanpa melalui saluran tadbir urus yang sewajarnya.
Menurut badan induk itu, ahli-ahlinya mempersoalkan tempoh masa yang terlalu singkat diberikan untuk menilai cadangan berkenaan, selain ketiadaan semakan serta kelulusan daripada badan tadbir urus FIFA sebelum ia diumumkan kepada umum.
CONCACAF turut mempersoalkan keperluan mendapatkan pelaburan ekuiti swasta bagi membiayai FIFA Forward Enterprise, sedangkan FIFA baru sahaja mencatat keuntungan besar menerusi Piala Dunia 2026 yang dianggap antara edisi paling menguntungkan dalam sejarah.
Atas faktor itu, kesemua 41 ahli CONCACAF sebulat suara menolak cadangan berkenaan sambil menggesa FIFA memanfaatkan rizab kewangan sedia ada untuk terus membangunkan bola sepak, tanpa perlu membuka pegangan kepada pelabur luar.
Dalam masa sama, badan itu menggesa Presiden FIFA, Gianni Infantino memastikan sebarang keputusan berkaitan FIFA Forward Enterprise diproses mengikut prosedur tadbir urus yang ditetapkan menerusi Majlis FIFA dan selaras dengan Statut FIFA.
Bagaimanapun, tidak seperti UEFA, CONCACAF tidak mengumumkan tindakan memboikot kejohanan FIFA sekiranya cadangan itu diteruskan. Sebaliknya, badan induk tersebut memilih untuk terus memberi tekanan kepada FIFA melalui saluran pentadbiran rasmi bagi mempertahankan kepentingan bola sepak.
Di bawah cadangan itu, FIFA akan mengekalkan pegangan majoriti dalam FIFA Forward Enterprise, manakala pegangan minoriti akan dijual kepada pelabur swasta bagi menjana sehingga AS$4.2 bilion. Dana tersebut menurut FIFA akan digunakan untuk memperkukuh pembangunan bola sepak di seluruh dunia, namun cadangan itu mendapat kritikan kerana dikhuatiri memberi pengaruh kepada pelabur terhadap aset komersial sukan berkenaan.
Sebelum ini, UEFA menjadi konfederasi pertama yang membantah keras cadangan itu malah memberi amaran bahawa kesemua 55 persatuan ahlinya bersedia memboikot semua kejohanan FIFA sekiranya FIFA Forward Enterprise diteruskan. Dengan pendirian terbaharu CONCACAF, tekanan terhadap FIFA kini semakin memuncak menjelang undian 211 ahli FIFA bagi menentukan masa depan cadangan berkenaan.