AGENSI Anti-Doping Malaysia (ADAMAS) mengumumkan keputusan sampel pengujian kawalan doping ke atas atlet Kejohanan Trek dan Balapan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) 2023 didapati positif atau Adverse Analytical Finding (AAF).

Menurut kenyataan media Kementerian Belia dan Sukan (KBS), ujian tersebut dilakukan dalam pertandingan (In-Competition Testing) ketika kejohanan berlangsung.

Keputusan tersebut juga telah sah dan diterima daripada Makmal Anti-Doping, Doha, Qatar (ADLQ) yang menganalisis sampet atlet olahraga berkenaan dan menemui bahan terlarang didalamnya iaitu dalam kelas S.6 Stimulants-sibutramine.

“Sibutramine merupakan bahan yang disenaraikan dalam senarai bahan yang dilarang penggunaannya sewaktu pertandingan oleh World Anti Doping Agency (WADA).

“Atlet akan digantung sementara daripada menyertai sebarang kejohanan atau pertandingan lain sehingga keputusan proses pendengaran diumumkan,” jelas pihak KBS melalui Unit Komunikasi Korporat.

Susulan itu, atlet tersebut akan diberi peluang untuk mempertahakan diri dalam tempoh yang diberi termasuklah menyediakan sebarang bukti bagi menyokong pembelaan.

ARTIKEL BERKAITAN : Elak isu doping, atlet wajib isytihar masalah kesihatan

 

KBS menegaskan, keseluruhan proses akan dijalankan secara telus dan mengikut peraturan anti-doping sepertimana yang telah ditetapkan dan atlet harus bertanggungjawab sepenuhnya terhadap bahan yang terdapat dalam sampel urin atau darah mereka semasa ujian kawalan doping.

Menjadi satu kepentingan untuk atlet dan Kakitangan Sokongan Atlet untuk mengikuti peraturan serta memahami tanggungjawab mereka di bawah Kod Anti-Doping Dunia.

“Pihak ADAMAS akan mengambil tindakan selanjutnya berdasarkan kepada ADAMAS Anti-Doping Rules 2021 dan International Standard for Results Management (ISRM),” tambah KBS lagi.