GAVIN Green mengharapkan sinar untuk disenarai dalam program “Road to Gold” setelah program terbabit, lebih terbuka untuk menyenaraikan atlet yang berpotensi layak ke Sukan Olimpik Paris 2024.
Atlet kelahiran Kuala Lumpur itu beraksi di pentas Olimpik sebanyak dua kali, di Rio 2016 dan Tokyo 2020 dan kini memburu penampilan ketiga di temasya sukan terbesar dunia itu.
Berdasarkan kedudukan terkini ranking Olimpik di Persekutuan Golf Antarabangsa (IGF), Gavin berada dalam landasan terbaik untuk ke temasya itu sekali lagi apabila menduduki tangga ke-52.
Selain Gavin, dua pemain golf negara turut berada di kedudukan terbaik layak ke Paris iaitu Kelly Tan (51) serta Natasha Oon (60) untuk kategori wanita.
Hanya 60 pemain terbaik dalam perlumbaan ranking ke Olimpik akan melayakkan diri secara automatik ke temasya terbabit sebelum tarikh tutup kelayakan, pada 24 Jun 2024.
Sebelum ini, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, jawatankuasa RTG akan melakukan penilaian bagi melakukan pembersihan dan penambahan atlet ke dalam program, pada September depan.
“Setakat ini kami masih tidak mendengar atau menerima apa-apa (daripada KBS), sebelum ini kami pernah cuba untuk berbincang untuk melihat jenis bantuan yang boleh diberikan kepada kami, namun langsung tidak ada apa-apa dan ini langsung tidak mengejutkan untuk saya.
“Saya faham golf bukanlah sukan utama seperti badminton ataupun terjun, saya faham, tetapi jika ada bantuan diberikan, pastinya ia adalah lebih baik, kerana kami masih seorang atlet.
“Semua atlet adalah sama, kami perlu berlatih, masuk ke gimnasium, perlukan jurulatih, apabila saya beraksi di luar negara, saya membawa pasukan saya, dan kesemua gaji mereka adalah datang dari duit poket saya.
“Jika pihak kerajaan (KBS) boleh membantu, ia akan menolong meringankan beban saya,” jelas Gavin yang ditemui pada Kejohanan Golf Piala Supra, Jelajah Toyota 2023 di The Mines Golf and Resort Club semalam.