BEBERAPA atlet UFC meluahkan rasa tidak senang dengan insiden pengusiran Khabib Nurmagomedov dari pesawat, sehingga mengundang pelbagai reaksi keras.

Salah seorang petarung UFC, Michael Chandler, lantang menyuarakan pandangannya. Menurut Chandler, Khabib tidak sewajarnya menerima layanan sedemikian.

“Boleh anda bayangkan, dalam situasi kecemasan di dalam pesawat, anda lebih memilih seseorang yang bercakap ‘sempurna’ daripada salah seorang atlet terhebat sepanjang masa hanya kerana anda ‘tidak selesa’ dengan aksen bahasa Inggerisnya (yang sebenarnya sangat bagus). Ini amat pelik,” tulis Chandler di akaun X miliknya.

Beliau turut menambah :  “Dia bukan sahaja manusia yang paling berkemampuan secara fizikal dalam pesawat itu, tetapi saya yakin satu-satunya syarat untuk duduk di barisan pintu keluar hanyalah mampu mengucapkan perkataan ‘ya’.”

Dalam cuitan yang sama, Chandler menegaskan sekali lagi bahawa Khabib adalah antara atlet terbaik sepanjang masa atau dikenali sebagai GOAT (Greatest Of All Time).

“Jika anda mengusir GOAT kami dari pesawat hanya kerana aksennya, maka saya cadangkan supaya penumpang melalui ujian kecergasan fizikal dan mental sebelum membenarkan mereka duduk di barisan pintu keluar selepas hanya mengucapkan satu perkataan, satu suku kata ‘ya’.

“Kerana saya pernah melihat beberapa individu yang kelihatan seperti ‘siput’ duduk di barisan pintu keluar dalam penerbangan,” tambah Chandler lagi.

Juara kelas welter UFC, Belal Muhammad, pula memberikan komen bernada sindiran berkenaan insiden itu.

“Dia boleh sahaja melempar semua orang dari pesawat dan menerbangkannya sendiri jika dia mahu,” tulis Belal.

Muhammad Mokaev turut menyuarakan keyakinannya bahawa Khabib adalah individu paling layak untuk duduk di barisan kerusi pintu kecemasan.

“Saya fikir dia mampu membantu dalam situasi kecemasan lebih daripada kebanyakan orang di dalam pesawat,” kata Mokaev melalui akaun X miliknya.

Insiden ini mengundang reaksi ramai yang mempertikaikan keputusan pihak penerbangan, sekali gus mencetuskan perbincangan hangat dalam komuniti sukan dan peminat UFC.