KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) mengharamkan penyertaan kanak-kanak bawah umur 15 tahun dalam sebarang acara profesional sukan tempur full-contact seperti tinju, muaythai, kickboxing dan MMA.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menegaskan langkah itu diambil bagi melindungi keselamatan dan integriti atlet muda, selepas beberapa insiden dan trend penganjuran “fight event” melibatkan kanak-kanak serta pempengaruh menimbulkan kebimbangan awam.

“KBS tidak akan berkompromi dengan keselamatan, integriti dan perlindungan kanak-kanak dalam apa jua bentuk sukan tempur,” tegas Hannah dalam sidang media khas di Menara KBS, Putrajaya.

Menurutnya, KBS menyedari peningkatan mendadak acara sukan tempur yang dijadikan tontonan hiburan, termasuk perlawanan melibatkan selebriti dan pempengaruh tanpa pematuhan undang-undang di bawah Akta Pembangunan Sukan 1997 (Akta 576).

KBS turut mendedahkan antara isu serius yang dikenal pasti ialah padanan regu tidak seimbang, ketiadaan kontrak sah, amalan menurunkan berat badan secara ekstrem, serta pelanggaran prosedur keselamatan yang boleh mengancam nyawa atlet muda.

Sehubungan itu, Pesuruhjaya Sukan diberikan mandat khas untuk menggubal garis panduan baharu bagi mengawal selia acara sukan tempur tanpa senjata, termasuk pemantauan statistik kecederaan, insiden kesihatan dan jumlah atlet aktif.

Hannah menjelaskan bahawa penyertaan atlet bawah 15 tahun hanya dibenarkan dalam kejohanan rasmi yang dianjurkan oleh persatuan sukan kebangsaan atau negeri berdaftar di bawah Akta 576, dengan pemakaian pelindung keselamatan wajib.

Langkah ini, katanya, membuktikan kesungguhan KBS untuk memastikan sukan tempur di Malaysia dikendalikan secara profesional, beretika dan selamat, sekali gus menamatkan era eksploitasi terhadap kanak-kanak atas nama hiburan.

“Sukan tempur bukan sekadar hiburan, ia gelanggang disiplin dan tanggungjawab. Masa depan anak-anak kita bukan bahan tontonan,” tegas Hannah.