PELAKSANAAN perlumbaan berbasikal trek Siri Piala Presiden sebagai acara tahunan di Malaysia, bakal menjadi faktor penentu kepada hala tuju sukan itu.
Menurut Pengarah Teknikal skuad berbasikal negara, John Beasley optimis bahawa perlumbaan itu akan menjadi acara tahunan yang dinantikan pelumba trek dari seluruh dunia dan tumpuan pasti teratas kepada Veledrom Nasional di Nilai.
Tiga acara berturut-turut di bawah Piala Presiden dijadualkan berlangsung bermula dengan acara kelas satu UCI pada 14 dan 15 Januari, diikuti dua acara kelas dua UCI masing-masing pada 18 dan 19 Januari serta 22 dan 23 Januari.
Perlumbaan itu akan berlangsung di Velodrom Nasional, Nilai di Negeri Sembilan.
Beasley berkata, penjadualan rapat antara ketiga-tiga acara kejohanan itu bertujuan menarik penyertaan pelumba antarabangsa.

Pengarah Teknikal Berbasikal Kebangsaan, John Beasley yakin inilah peluang buat ramai pelumba negara merasai pengalaman saingan kelas dunia.
“Kami memilih tempoh ini kerana musim sejuk di Eropah, sekali gus menjadikan Malaysia destinasi ideal untuk pelumba dunia.
“Acara kelas satu UCI menawarkan mata berganda, jadi ini peluang keemasan bagi mereka yang ingin meningkatkan kedudukan dalam ranking dunia,” katanya.
Beasley berkata, siri pertama bermula esok telah menarik penyertaan atlet dari pelbagai negara termasuk Australia, Hong Kong, Indonesia, Thailand, Korea Selatan, Iran, India, Suriname, Slovakia, Singapura dan pelumba tempatan.
Selain menarik minat pelumba antarabangsa, Beasley menegaskan kepentingan acara ini kepada pembangunan pelumba tempatan.
“Kita tidak mampu menghantar semua pelumba Malaysia bertanding di luar negara, jadi kami bawa perlumbaan bertaraf dunia ini ke sini. Sekali gus, mereka dapat mengumpul mata dan pengalaman menyertai kejohanan antarabangsa tanpa perlu keluar negara,” katanya.
Tambah Beasley, penganjuran acara UCI adalah syarat penting bagi kelayakan pelumba negara ke Kejohanan Dunia.