PENYERANG Kuala Lumpur City FC, Sebastian Avanzini mengakui kejayaan menjulang Piala Malaysia dan layak ke final Piala AFC adalah tarikan utama buatnya datang ke Malaysia dan menyertai kelab Warga Kota itu.
Dia banyak mengetahui tentang KL City dan Liga Malaysia menerusi teman baiknya yang juga penjaga gol, Kevin Ray Mendoza yang beraksi bersamanya ketika di Denmark dan gembira kerana dapat membentuk keserasian dengan cepat hasil bantuan Giancarlo Gallifuoco dan Sean Gan Gianneli.
Pemain kelahiran Itali itu melihat kejayaan Mendoza di Piala Malaysia dan Piala AFC menjadikan dia mahu merasakan mengikuti jejak langkah bekas rakan sepasukannya itu dan kini berjaya melakukan gol debutnya ketika menewaskan Perak FC pada Isnin.

Kevin Ray Mendoza
“Sepanjang tempoh dua tahun ini saya sentiasa berhubung dengan Kevin dan saya mengikuti kariernya di Malaysia termasuk di Piala Malaysia dan Piala AFC dan saya rasakan mungkin ini masanya untuk saya ikut jejaknya dan sertai KL City.
“Saya rasa keserasian bersama rakan sepasukan juga amat bagus terutama Giancarlo dan Sean yang banyak membantu saya sesuaikan diri di sini selain rakan baik saya, Kevin yang pernah bermain bersama-sama ketika di Denmark.
“Dua kemenangan berturut-turut ini sangat penting selepas permulaan yang perlahan dan saya gembira jaringan saya dapat berikan tiga mata penuh buat pasukan yang sudah saya anggap seperti keluarga sendiri di sini,” katanya.

Keluarga Kuala Lumpur City FC
Sebastian turut merasakan keputusan untuk beraksi di Liga Malaysia adalah tepat kerana ianya sangat menarik dan gembira dengan keadaan cuaca di sini kerana dia adalah individu yang sukakan aktiviti luar berbeza dengan keadaan cuaca sejuk di Denmark.