PENGENDALI Sabah FC, Martin Stano mengakui dia gembira dengan kemenangan ke atas Kuching City FC pada aksi suku akhir pertama Piala Malaysia selain memuji komitmen yang ditunjukkan pemain kebangsaan pada perlawanan itu.

Gol tunggal Farhan Roslan pada babak pertama sudah cukup buat The Rhinos membawa pulang kelebihan aggregat 1-0 dan Stano mahu pemain terus kekalkan fokus pada aksi timbal balik di Stadium Likas minggu hadapan jika ingin tempah slot ke separuh akhir.

“Ianya satu perlawanan derbi yang sangat sukar dari segi taktikal, fizikal dan juga emosi meskipun kami menang minggu lalu di sini dalam Liga Super. Perlawanan Piala Malaysia ini berlainan kerana mempunyai dua aksi dan walaupun menang, kami masih ada pusingan kedua di mana dalam bola sepak apa sahaja boleh berlaku yang mana kami tidak boleh kehilangan fokus.

Stano gembira dengan komitmen pemainnya terutama pemain kebangsaan

“Saya bangga dengan komitmen setiap pemain terutama pemain-pemain kebangsaan yang mengharungi aksi sukar bersama negara dan kini membantu kelab dan akan kembali semula kepada skuad Harimau Malaya selepas ini.

“Kuching City adalah satu pasukan dengan taktikal yang bagus dan sasaran kami ke sini adalah menjaringkan gol dan akan kembali ke Likas untuk perlawanan kedua dengan beberapa pertukaran perlu dilakukan ekoran kad kuning serta ada pemain yang mengalami kecederaan,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Dalam sidang media yang sama, ketua jurulatih Kuching City, Aidil Sharin Sahak mahu para pemainnya belajar dari kesilapan terutama ketika menghadapi set pieces kerana mereka dibolosi dengan cara yang sama ketika perlawanan Liga Super sebelum ini.

Aidil Sharin percaya Kuching City masih ada 90 minit untuk padam kelebihan Sabah di Likas

Namun dia percaya pasukannya masih mempunyai peluang di Likas dan akan melihat kepada prestasi skuad Harimau Malaya sebelum membuat keputusan sama ada mahu memanggil semula Danial Amier dan Jimmy Raymond.

“Kami melakukan kesilapan yang sama sekali lagi dari set pieces tetapi secara keseluruhan pemain pamerkan aksi yang baik. Kita tahu Sabah adalah pasukan yang kuat dan kami masih kekal mendominasi serta menyerang walaupun ketinggalan dan pemain perlu belajar untuk tidak mengulangi kesilapan pada perlawanan kedua di Likas nanti.

“Kita akan melihat sama ada akan memanggil semula Danial dan Jimmy jika Malaysia tidak layak ke separuh akhir kerana tugasan negara lebih utama, tetapi ini adalah peluang terbaik buat pemain-pemain lain buktikan kemampuan apabila diberikan peluang.

“Masih ada 90 minit lagi buat kami di tempat lawan dan akan tetap bermain dengan cara kami walaupun mungkin perlukan sedikit tuah tetapi apa sahaja boleh terjadi dengan sedikit perubahan akan dilakukan pada skuad,” jelasnya.