PASUKAN bola sepak wanita Sabah FA telah diundi dalam Kumpulan C untuk peringkat kelayakan Liga Juara-Juara AFC Wanita (AWCL) 2024-25 selepas selesai majlis undian rasmi di AFC House, Kuala Lumpur pada Khamis.

Kejohanan yang julung kali diadakan itu juga menyaksikan Sabah bakal menjadi tuan rumah bagi semua aksi Kumpulan C yang dilangsungkan secara berpusat dari 25 hingga 31 Ogos 2024.

Bersama-sama Sabah FA adalah wakil Uzbekistan, PFC Nasaf dan juara Nepal, APF FC dengan juara kumpulan bakal layak ke peringkat kumpulan untuk merebut kejuaraan sulung kejohanan wanita elit ini.

Sabah menjadi wakil pertama Malaysia selepas muncul juara Liga Wanita Nasional musim 2023 yang pastinya akan menggunakan kelebihan beraksi di laman sendiri sebagai penambah semangat untuk memberikan saingan.

Lawan di peringkat kumpulan, APF FC dari Nepal adalah juara liga wanita Nepal musim 2023 dan berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah dalam tiga musim manakala PFC Nasaf dari Uzbekistan juga adalah juara liga wanita Uzbekistan musim lalu 2023 yang juga kejuaraan kelima dalam sejarah kelab.

Pengurus pasukan Sabah, Arziz Afizy Rumsani mengakui Sabah berbangga untuk membawa nama Malaysia dan dia juga gembira kerana Kota Kinabalu telah dipilih sebagai salah satu venue oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Piala yang menjadi rebutan 21 kelab yang bertanding

“Gembira kerana kami mewakili Malaysia dalam kejohanan yang julung kali diadakan dan saya harap para pemain dapat berikan saingan serta mendapatkan pengalaman apabila beraksi di peringkat tertinggi kelab wanita Asia ini.

“Sangat baik kami menjadi tuan rumah dan kelebihan ini adalah buat negeri Sabah dan berharap para penyokong akan hadir memberikan sokongan kepada pasukan,” katanya ketika ditemui selepas majlis undian.

Sebanyak 21 pasukan telah mengesahkan tempat untuk bersaing dalam kejohanan ini dengan AFC mensasarkan satu pertandingan yang kompetitif sekaligus meningkatkan lagi mutu bola sepak wanita di benua ini.