AFRIKA Selatan menerima tamparan hebat dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2026 apabila ditolak tiga mata selepas menurunkan pemain tidak layak, Teboho Mokoena, sekali gus menjejaskan peluang mereka untuk mara ke kejohanan berprestij itu.

FIFA dalam kenyataan semalam mengesahkan pemain tengah itu sepatutnya menjalani penggantungan selepas mengutip dua kad kuning, namun tetap diturunkan dalam kemenangan 2-0 ke atas Lesotho pada Mac lalu. Susulan keputusan itu, Lesotho dihadiahkan kemenangan 3-0, manakala Afrika Selatan turut didenda RM52,843.

Kedudukan kumpulan kini semakin sengit apabila Benin naik ke tangga teratas berdasarkan perbezaan gol, berkongsi 14 mata bersama Afrika Selatan. Nigeria yang menjadi pilihan utama pula ketinggalan tiga mata, setaraf dengan Rwanda. Hanya juara kumpulan layak automatik ke Piala Dunia, manakala naib juara perlu melalui playoff.

Dua perlawanan terakhir bakal menentukan nasib pasukan. Pada 10 Oktober, Benin akan bertemu Rwanda, Lesotho menanti Nigeria manakala Afrika Selatan berdepan Zimbabwe. Pusingan akhir pada 14 Oktober pula menyaksikan Benin menentang Nigeria, manakala Afrika Selatan melayan kunjungan Rwanda.

Jurulatih Afrika Selatan, Hugo Broos mengakui kesilapan itu tidak sepatutnya berlaku. “Kami melakukan sesuatu yang salah, sesuatu yang tidak sepatutnya dilakukan,” katanya.

Namun, keputusan FIFA itu turut menimbulkan kritikan kerana badan induk bola sepak dunia mengambil masa hampir tujuh bulan untuk menyelesaikan isu ini. Jurulatih Benin, Gernot Rohr menyifatkan kelewatan itu menjejaskan keadilan saingan.

Insiden ini mengulangi sejarah pahit bola sepak Afrika. Sebelum ini, Nigeria dan Cape Verde juga pernah kehilangan mata kerana menurunkan pemain tidak layak dalam kelayakan Piala Dunia, sekali gus menyaksikan impian ke kejohanan terbesar dunia musnah begitu sahaja.

Sumber Gambar: Reuters