KEJOHANAN Olahraga SEC di Gainesville, Florida, Amerika Syarikat (AS) hujung minggu ini, menjadi sasaran jaguh pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi untuk melakukan catatan terbaik bagi melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024.
Dijadual beraksi pada satu lagi kejohanan SEC, Azeem yang berada pada tahap optimum berpeluang melakukan catatan terbaik sekali gus memastikan pelari berusia 20 tahun itu menyambar tiket ke Paris.
Pemegang rekod kebangsaan 100 meter (m) dengan catatan 10.09 saat (s) itu menyifatkan kejohanan itu, menjadi peluang untuk dia merakam masa yang lebih baik.
“Satu lagi peluang untuk menghasilkan keputusan yang lebih baik, minggu SEC. Bismillah,” tulis Azeem menerusi ciapan di Twitter miliknya, semalam.
Pada Kejohanan Olahraga LSU Invitational di Baton Rouge, Los Angeles, 27 April lalu, Azeem mencatat masa peribadi terbaik musim ini, 10.24s untuk menduduki tempat ke-12 keseluruhan.
Bagaimanapun, catatan berkenaan tidak diiktiraf disebabkan bantuan angin.
Keputusan itu menyaksikan catatan 10.31s yang dilakukan ketika menduduki tempat ketiga di Kejohanan Olahraga Tiger Klasik di Alabama pada 21 April lalu kekal sebagai rekod peribadi terbaiknya musim ini.
Ketika menyertai Kejohanan Olahraga Yellow Jacket di Georgia Tech, Atlanta, Mac lalu, Azeem meraih gangsa dengan catatan 10.38s.
Dia turut mencatat 10.44s di Kejohanan Olahraga Jemputan Tom Jones Memorial 2024 di Gainesville, Florida, seminggu selepas itu berada di kedudukan ke-22 secara keseluruhan dalam kalangan 75 peserta.
Bagi melayakkan diri secara merit ke Olimpik Paris, Azeem perlu mencatat masa sekurang-kurangnya 10s.
Sekiranya penuntut Universiti Auburn di Alabama itu gagal melakukan catatan 10s, dia masih berpeluang ke Olimpik menerusi kedudukan ranking.
Ketika ini, Azeem berada di kedudukan ke-44 ranking kelayakan ke Paris dengan dia perlu berada dalam kelompok 56 terbaik sebaik tamat pusingan kelayakan hujung bulan depan.