PROGRAM Kursus Latihan Asas Sukan (KLAS) Sepaktakraw Perpaduan Kaum, bakal muncul sebagai ‘game changer’ apabila membuka ruang melahirkan tekong, killer dan feeder dalam kalangan murid Cina dan India, sekali gus mengubah landskap sukan tradisi Melayu itu.
Presiden Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd Sumali Reduan berkata, “Ini hasrat saya dan YB Menteri, kita mahu sepak takraw ada pemain Cina, India, Orang Asli supaya sukan ini benar-benar menggambarkan perpaduan negara.”

Presiden PSM, Datuk Mohd Sumali Reduan mahu melihat sepak takraw diterima semua maayarakat.
Sumali menegaskan perpaduan itu hanya menjadi realiti apabila stadium dipenuhi 2,000 hingga 5,000 penyokong berbilang kaum, sambil menambah, “Saya teringin melihat bila bermain nanti, orang Cina, India dan Melayu ada bersama dalam satu semangat.”
Beliau menekankan kepentingan kesinambungan latihan selepas sesi asas, “Kalau datang dua tiga jam dan tiada follow up, ia takkan jadi, jadi pemain yang ada potensi mesti diberi bola supaya minat itu hidup.”


Optimis dengan hala tuju baharu itu, Sumali berkata, “Satu hari nanti tekong mungkin orang India, killer mungkin Melayu dan feeder mungkin Cina kerana kita mahu komuniti dan crowd ini membesar seperti badminton.”
Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menegaskan program itu diperkenalkan di sekolah Cina dan Tamil untuk mencungkil bakat baharu.
“Hari ini 147 murid dari tiga sekolah belajar takraw kerana kita mahu komuniti Cina dan India juga ada peluang.”

Menteri Belia dan Sukan mahu ibu bapa memanfaatkan Akademi Sepaktakraw Malaysia yang bakal siap sepenuhnya Februari 2026, untuk menghantar anak bagi menjalani latihan sepaktakraw.
Hannah turut mengingatkan tentang keperluan penambahbaikan awal, apabila menyarankan kanak-kanak seawal usia 7 tahun disediakan guru penterjemah kerana khuatir murid sekolah rendah kurang menguasai bahasa Melayu sehingga menyekat potensi diri yang ada dalam sukan terbabit, selain bersetuju setiap pelatih perlu dibekalkan satu bola untuk di bawa pulang ke rumah untuk dipraktikkan.
Malah katanya, pembinaan Akademi Sepak Takraw yang akan siap tahun hadapan, boleh memperkemas ekosistem bakat negara, dengan menjelaskan, “Bila akademi siap, ibu bapa dari semua kaum tahu di mana nak cari jurulatih, dan dari situ kita lahirkan pemain kebangsaan berbilang kaum.”