MUHAMMAD Azeem Mohd Fahmi mengharapkan kecederaan pangkal pahanya pulih sebelum aksi suku akhir 100 meter (m) kelayakan NCAA di Florida, pagi Jumaat.

Pelari berusia 19 tahun itu berlari dengan kecederaan pangkal paha kanan, namun masih layak sebagai tiga pelari terpantas saringan dengan catatan masa 10.21 saat (s) pada pusingan pertama, pagi tadi.

Bagaimanapun, pemegang rekod 100m kebangsaan dengan catatan masa 10.09s itu berasa keadaannya tidak berada pada tahap terbaik selepas menamatkan larian di Stadium Hodges, Jacksonville itu.

“Sebelum ini saya tak pasti dapat lari atau tidak sebab saya cedera pangkal paha. Sebab itu juga saya tak berlatih selama lima hari kerana beri fokus kepada pemulihan.

“Saya warm up pun masih rasa sakit tetapi Alhamdulillah dapat juga berlari hari ini (semalam) dan layak ke pusingan seterusnya.

“Sekarang bimbang tak sempat (aksi suku akhir) sebab tadi (semalam) saya lari 10.21s pun dalam keadaan terhincut-hincut. Harap keajaiban berlaku dan dipermudahkan urusan saya,” katanya.

Azeem yang mewakili Universiti Auburn terpaksa menerima rawatan dan membalut bungkusan ais di pangkal paha kanan selepas tamat perlumbaan.

Pada suku akhir, Azeem diletakkan dalam saringan 3 bersama Cole Beck yang mencatat masa 10.05s di pusingan pertama, Da’Marcus Fleming (10.10s), Wanya McCoy (10.10s), Rodney Heath Jr. (10.13s), PJ Austin (10.14s), Javonte Harding (10.14s) dan Antonio Laidler (10.19s).