KUARTET 4×100 meter negara kini bernafas dalam misi luar biasa apabila pelari sensasi Muhammad Azeem Fahmi melaungkan azam untuk memimpin pasukan memecahkan rekod kebangsaan dengan catatan bawah 39 saat menjelang Sukan SEA hujung tahun ini.

Menurut Azeem, kuartet negara kini semakin matang dan berpotensi besar untuk mencatat masa sekitar 38.6s hingga 38.7s, sekali gus mengatasi rekod kebangsaan sedia ada iaitu 39.09s yang dilakukan di Sukan SEA Hanoi 2021.

Temasya Hanoi yang berlangsung pada 2022 itu menyaksikan kuartet dibarisi Azeem, Muhammad Arsyad Md Saat, Muhammad Haiqal Hanafi dan Badrul Hisyam Abdul Manap melakar sejarah apabila merangkul pingat emas dan memecahkan rekod kejohanan di Hanoi dengan aksi cukup padu.

Kini, dengan kehadiran pelari muda berbakat seperti Danish Iftikhar yang mencatat 10.3s, kombinasi baru dilihat mampu membawa cabaran Malaysia ke tahap lebih tinggi, termasuk bersaing rapat dengan kuartet elit dari Thailand, Vietnam dan Singapura.

“Kita bukan sekadar mahu menang, tapi mahu pecahkan halangan psikologi 39 saat, ia bukan mustahil jika semua pelari konsisten dan ‘passing baton’ dalam zon emas,” tegas Azeem yang kekal sebagai tonggak utama kuartet.

Malaysia kini menduduki kedudukan ke-6 terbaik Asia dalam acara 4x100m lelaki berdasarkan ranking semasa dengan pencapaian musim ini berada di bawah 39.20s, sekali gus meletakkan mereka dalam kelompok pencabar utama rantau ini.

Dalam pada itu, Azeem bertekad bangkit menebus kekecewaan di Sukan Universiti Dunia (WUG) dengan memburu kejayaan pada Kejohanan Terbuka India yang bakal berlangsung pada 10 Ogos ini.

Atlet berusia 21 tahun itu menamatkan saingan di tempat keempat acara riben biru di WUG dengan catatan 10.35 saat (s), namun jauh daripada catatan terbaik musim ini iaitu 10.20s.