PENGARAH Kejurulatihan Beregu, Rexy Mainaky meledak ‘bom psikologi’ menjelang Kejohanan Dunia apabila menggesa ketua jurulatih beregu campuran, Nova Widianto menjalankan “bedah siasat” segera ke atas gandingan ranking keempat dunia, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei.

Menurut Rexy laporan pemantauan peribadinya ke atas pemain beregu campuran negara di beberapa kejohanan terakhir telah diserah kepada Nova dan beliau tidak mahu jurulatih itu, sekadar melihat masalah di gelanggang seperti teknik dan kemahiran semata-mata, sebaliknya perlu lebih memahami emosi serta gangguan pemikiran pemain seperti seorang bapa yang memimpin anak.

Katanya, punca utama prestasi tidak konsisten gandingan itu bukan kerana kemahiran yang lemah, sebaliknya mereka gagal mengurus tekanan dan tidak saling menerima kelemahan masing-masing dalam perlawanan.

Pengarah Kejurulatihan beregu ABM,Rexy Mainaky, menganggap kesanggupan Tang Jie dan Ee Wei untuk saling menerima, sekadar di bibir.

“Kalau dapat mata senang, mereka main cantik… tapi bila lawan mula beri tekanan, terus panik, permainan jadi kucar-kacir,” katanya yang turut menyifatkan komunikasi gandingan itu, lebih kepada melepaskan batuk di tangga.

Tambahnya, pasangan bukan robot yang boleh ditekan butang ‘reset’ untuk terus berfungsi sempurna dan jika pasangan itu gagal memperbaiki hubungan emosi serta cara fikir, sukar untuk menyerlah di pentas dunia.

Justeru, Rexy menggesa Nova agar tampil lebih dominan dalam membentuk kekuatan mental dan emosi pemainnya, bukan sekadar menjadi jurulatih taktikal tetapi mentor yang mampu ‘membaca jiwa’ mereka.