BUKAN mudah nak sampai ke sini. Tapi mungkin mereka nampak kerja saya.”

Itu reaksi spontan Datuk Nur Azmi Ahmad sejurus diumumkan sebagai Timbalan Presiden baharu Angkatan Majlis Olimpik Malaysia (MOM), hari ini.

Beliau yang menerajui Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF), dianggap sebagai calon paling konsisten memperjuang dan melaksana agenda pembangunan akar umbi sukan, termasuk melalui penubuhan Akademi ASEAN serta Akademi Karate Malaysiadi Asahan (Melaka) yang menjadi rujukan ramai.

Menurut Azmi, kemenangan ini bukan sekadar soal persaingan kerusi tetapi lebih kepada amanah dan tanggungjawab yang diberikan oleh para presiden dan setiausaha persatuan, yang selama ini mengikuti rapat kerja keras beliau demi masa depan sukan negara.

“Saya tak lihat ini sebagai kejayaan individu. Tapi ia satu kepercayaan. Apa yang saya buat selama ini untuk karate, kini saya akan cuba bawa kepada sukan-sukan lain juga. Kita perlukan perancangan empat tahun ke depan, bukan tunggu saat akhir baru nak bertindak,” katanya yang menewaskan Datuk Awalan Abdul Aziz, Presiden Peraekutuan Lawn Bowls Malaysia 70 undi berbalas 20 undi.

Mengulas pendekatannya, Azmi berkata, beliau sedia bekerjasama sepenuhnya dengan Presiden MOM (Tan Sri Mohamad Norza Zakaria) dan barisan Naib Presiden lain demi memastikan hala tuju yang jelas dapat dicapai secara berpasukan, selain menekankan perlunya semua persatuan mencari jalan untuk bergerak seiring dengan program yang disusun Majlis Sukan Negara (MSN) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

“Kalau menang, kita menang bersama. Kalau kalah, pun sama. Saya hormat presiden, saya tahu di mana saya berdiri. Apa saja tugasan diberi, saya akan buat yang terbaik. Takkan saya duduk saja,” katanya berseloroh, namun tegas.

Azmi juga berkongsi pengalamannya ketika menjadi Ketua Kontinjen Negara (CDM) ke Sukan SEA Hanoi yang disifatkan sebagai antara tugas paling mencabar, apabila perlu menyusun persiapan dalam masa kurang dua bulan susulan sekatan COVID-19 yang baru dilonggarkan ketika itu.

“Tapi alhamdulillah, saya berjaya bawa pulang keputusan yang melepasi sasaran. Itu mungkin jadi ukuran kepada perwakilan, bahawa saya bukan hanya pandai bercakap tapi boleh bekerja bila diberi amanah,” katanya.