KEDUDUKAN Datuk Hans Isaac sebagai Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) dijangka kekal sehingga tamat kontrak dua tahun pada Jun hadapan, biarpun pelbagai kritikan dan desakan, yang mahukannya melepaskan jawatan itu.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, setiap keputusan berkaitan isu padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) yang dihujani kritikan, adalah keputusan bersama ahli lembaga pengarah PSM.

Isu padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) adalah keputusan ahli Lembaga Pengarah PSM. -Hannah Yeoh, Menteri Belia dan Sukan.| FOTO Fathin Suhaira Abd Rahim.

“Hans Isaac dilantik untuk tempoh dua tahun dan saya percaya dalam PSM, setiap keputusan dibuat bersama board (Lembaga Pengarah).

“Lembaga Pengarah sudah mengambil keputusan untuk rumput selepas konsert Coldplay, beri kepada pakar untuk masuh dan lakukan tugasan.

“Itu adalah keputusan ahli lembaga pengarah, jadi kita kena tunggulah,” kata Hannah, ditemui pada Majlis Berbuka Puasa Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) semalam.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh beramah mesra dengan pengamal media pada Majlis Berbuka Puasa KBS dan SAM. | FOTO Fathin Suhaira Abd Rahim.

Hans Isaac mula dilantik sebagai Pengerusi PSM pada Jun tahun lalu bagi sesi 2023/2025 bermula pada Jun tahun lalu.

Beliau menjawab persoalan berkaitan desakan banyak pihak yang mahukan Hans Isaac meletak jawatan susulan kerosakan padang yang menjejaskan perlawanan membabitkan aksi Harimau Malaya.

Menurut Hannah, PSM telah mendapatkan khidmat nasihat daripada pakar rumput “turf” dari Australia: “Dan konsert Ed Sheeran selepas itu memang di bawah pemantauan pakar, sebab itu selepas perlawanan malam ini, kita nilai dahulu.

Menteri Belia dan Sukan melihat juadah berbuka puasa yang dihidangkan.| FOTO Fathin Suhaira Abd Rahim.

“Saya akan mendengar dan mendapatkan maklumbalas daripada mesyuarat dan pakar sebab nak pastikan ada penambahbaikan segera.

“Seperti saya jelaskan, kita tiada dua stadium, sebab itu kena pastikan menjaga rumah rumah Harimau Malaya.”

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mengambil kesempatan untuk mengenali lebih rapat ahli SAM.| FOTO Fathin Suhaira Abd Rahim.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa, ruang untuk menganjurkan konsert juga perlu diberikan kerana PSM memerlukan sumber kewangan dan hasilnya dimasukkan ke akaun PSM.

“PSM menggunakan wang itu naik taraf stadium seperti sistem saliran, kalau kita ada dua stadium yang mempunyai kapasiti sama saya pasti tak akan susah macam ini,” ujar Hannah lagi.

Skuad Harimau Malaya tewas 0-2 kepada Oman malam tadi.

Dalam pada itu, Hannah berkata, kedudukan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PSM menjadi kerusi panas ketika ini setelah kontrak Mohd Faidz Sanusi berakhir.

“Ya kita terbuka kepada sesiapa sahaja yang mahu mengisi jawatan itu, boleh menghantar resume,” katanya.

Kira-kira dua minggu lalu, PSM julung kali melantik Ketua Pegawai Operasi (COO) yang kini dijawat Iliyas Jamil.