Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh memberi amaran jelas kepada Kesatuan Olahraga Malaysia (MA) supaya segera menyelesaikan isu boikot oleh beberapa atlet pecut negara terhadap jurulatih warga Australia, Robert Ballard — sebelum prestasi negara terjejas di Sukan SEA 2025 yang semakin hampir.
Meskipun pelbagai versi mengenai punca konflik timbul dalam media, Hannah tidak mahu situasi berpanjangan hingga mengorbankan persiapan atlet, apatah lagi temasya dwitahunan itu dijadual berlangsung September ini.
“Majlis Sukan Negara (MSN) telah mengadakan banyak perbincangan dengan MA dan kita juga dengar berbagai versi. Oleh sebab itu, kita telah memberikan mereka satu lagi peluang untuk selesaikan secara dalaman. Tapi saya tak nak mereka mengambil masa yang lama. Saya nak diselesaikan secepat mungkin kerana saya tak nak atlet terjejas untuk Sukan SEA bulan 9 nanti,” katanya pada sidang media khas di MSN, Bukit Jalil hari ini.
Terdahulu, beberapa atlet dilaporkan bertindak memboikot program latihan Ballard sejak sebulan lalu, dipercayai akibat rasa tidak puas hati terhadap pendekatan pengurusan jurulatih tersebut. Malah, ada dakwaan mereka menerima ugutan akan dibuang daripada program sekiranya terus bersuara.
Hannah turut meluahkan kekecewaannya terhadap kekeliruan informasi yang tersebar dan menegaskan beliau tidak mahu lagi bergantung kepada laporan media semata-mata untuk mendapatkan penjelasan sebenar.
“Hari ini saya semak, berita-berita boikot itu pun sudah tak ada. Oleh sebab itu, saya minta Presiden (MA) selesaikan dengan secepat mungkin,” katanya tegas.
Menurut beliau, olahraga merupakan antara sukan utama yang menyumbang pingat kepada negara di Sukan SEA dan sebarang isu dalaman yang menjejaskan moral atau prestasi atlet perlu ditangani segera.
“Olahraga merupakan sukan utama untuk kita ke Sukan SEA dan saya tak nak apa-apa berlaku lagi yang akan menjejaskan prestasi atlet-atlet negara kita.”
Dengan masa semakin suntuk, tumpuan kini terarah kepada MA untuk tampil dengan penyelesaian segera — bukan sahaja demi memastikan kelancaran program latihan, tetapi juga menjaga kesejahteraan mental dan semangat juang atlet-atlet tanah air.