JAGUH angkat berat negara, Muhammad Aznil Bidin menempah tiket awal ke Sukan Komanwel Glasgow tahun depan selepas merangkul emas di Kejohanan Angkat Berat Komanwel di India, sebentar tadi (Selasa).
Aznil yang pertama kali beraksi dalam kategori baharu bawah 65 kilogram sejak diperkenalkan Jun lalu, tenang melakukan angkatan 125kg dalam snatch dan 172kg dalam clean & jerk.
Jumlah keseluruhan 297kg sudah cukup untuk meletakkan Aznil di puncak podium sekali gus memastikan slot automatik ke Glasgow.

Pesaing tuan rumah, Raja Muthupandi terpaksa berpuas hati dengan perak selepas mengumpul 296kg manakala wakil Papua New Guinea, Morea Baru meraih gangsa dengan 292kg.
Mengikut peraturan, hanya pemenang keseluruhan setiap kategori, layak secara automatik ke Sukan Komanwel tahun depan.
Sebelum ini, Aznil beraksi dalam kategori 67kg namun kategori itu telah dimansuhkan.