KEMELUT pemilihan skuad lebuh raya ke Sukan SEA Thailand 2025 akhirnya ‘dikunci mati’ apabila Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) mengekalkan kombinasi pelumba terbaik daripada Terengganu Cycling Team (TSG), Malaysia Pro Cycling (MPC) dan skuad kebangsaan.

Presiden PKBM, Datuk Amarjit Singh Gill menyifatkan keputusan itu sebagai satu kejayaan hasil siri rundingan maraton selama dua bulan bersama semua pihak yang akhirnya menemui titik persamaan.

“PKBM ucapkan terima kasih kepada TSG, MPC, Pengerusi Biro Lebuh Raya PKBM, Azman Abu Samah serta jurulatih kebangsaan, Yusof Nasir kerana berjaya capai persefahaman,” katanya, pada sidang media khas, di Wisma Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Beliau menegaskan kombinasi ‘3 pihak’ itu adalah ramuan paling ampuh untuk mengekalkan emas acara lebuh raya lelaki yang sudah dua edisi berturut-turut menjadi milik Malaysia.

Gabungan TSG, MPC dan skuad berbasikal kebangsaan pasti akan membuahkan pingat di Sukan SEA Thailand.

Selain itu, Amarjit turut mengumumkan seramai 28 pelumba merangkumi trek, lebuh raya, bukit dan BMX bakal diturunkan di temasya dwitahunan yang bakal berlangsung Disember depan di Thailand.

Katanya, penyatuan TSG, MPC dan skuad kebangsaan bukan sahaja menutup segala polemik, malah memberi gambaran jelas bahawa kayuhan kali ini datang daripada satu pasukan yang benar-benar bersatu.

“Isu ini tak boleh berlarutan, yang lebih penting prestasi di jalan raya nanti… selepas keputusan ini, kita mahu semua bekerja sebagai satu pasukan,” tegas Azman yang nyata lega dengan penyelesaian itu.

Malaysia sebelum ini mempertahankan emas lebuh raya lelaki di Vietnam 2022 dan Kemboja 2023, dan kali ini PKBM yakin kombinasi mantap bakal terus meledakkan kayuhan emas di bumi Thailand.