SEKUMPULAN pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Cenderawasih mencipta kenangan indah apabila sesi latihan bola jaring mereka ‘disertai’ Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam satu kejadian tidak disangka, semalam.

Dalam kejadian di Taman Bandar, Kuantan itu, para pelajar yang sedang menjalani latihan teruja apabila baginda yang kebetulan beriadah di kawasan berkenaan turut mencuba bermain bola jaring bersama mereka.

Kehadiran baginda nyata memberi suntikan semangat kepada para pelajar yang menyifatkan momen tersebut sebagai pengalaman luar biasa dan sukar dilupakan.

Malah, baginda turut berkenan beramah mesra serta meluangkan masa bergambar bersama pelajar, sekali gus mencipta kenangan manis buat mereka.

Selain itu, Sultan Pahang juga dilihat mengambil peluang meninjau keadaan sekitar termasuk tahap kebersihan kawasan rekreasi yang menjadi tumpuan orang ramai.

Perkongsian mengenai detik istimewa itu dimuat naik menerusi laman media sosial rasmi Kesultanan Pahang dan mendapat perhatian ramai.

Rata-rata netizen turut meluahkan rasa kagum serta menyifatkan pengalaman tersebut sebagai rezeki istimewa buat para pelajar berkenaan.

Sumber Gambar dan Video: Instagram Kesultanan Pahang