KEJOHANAN Super Schools Rugby (SSR) 2025 akan melabuhkan tirainya dengan pentas akhir yang akan berlangsung jam 4 petang hari ini di Taman Ekuestrian Putrajaya, apabila MRSM Balik Pulau menentang Victoria Institution dalam Grand Final edisi ke-10 untuk merebut Piala Cabaran Tan Sri Wan Aziz.

Pertemuan ini mempertemukan dua naratif berbeza — pasukan pendatang baharu yang mencipta sejarah dengan kemaraan sulung ke final, menentang kuasa lama SSR yang sedang memburu kejuaraan ketiga.

Dalam sidang media pra-perlawanan, SSR 2025 Grand Final Media Scrum, yang berlangsung semalam di lokasi perlawanan, wakil kedua-dua pasukan berkongsi persediaan dan harapan menjelang perlawanan akhir.

Impian menjadi nyata: MRSM Balik Pulau tampil sebagai finalis buat kali pertama dalam sejarah, membawa harapan seluruh komuniti MARA untuk menjulang kejuaraan SSR.

Ketua Jurulatih MRSM Balik Pulau, Mohd Izzuwan Ahmad Sukri berkata peluang berada di pentas akhir merupakan satu penghormatan buat sekolah mereka dan komuniti MARA. “Kami bersyukur dapat sampai ke tahap ini. Ini adalah kali pertama kami beraksi dalam final dan kami tahu betapa besarnya makna perlawanan ini.

Pemain telah berusaha tanpa mengenal penat lelah, dan kami hanya mahu memberikan persembahan terbaik menentang pasukan seperti VI yang sangat kami hormati.”

Pengurus Pasukan Victoria Institution, Nik Mohd Sidek Nik Jaffar pula meluahkan rasa bangga terhadap barisan pemainnya, sambil memberi amaran bahawa pihak lawan bukan mudah untuk ditewaskan. “Beraksi di pentas akhir sekali lagi adalah satu penghargaan yang besar. Para pemain telah menunjukkan komitmen luar biasa sepanjang musim. Tetapi kami tahu MRSMBP bukan calang-calang — prestasi mereka musim ini membuktikan mereka layak berada di sini. Kami menjangkakan satu perlawanan yang sengit dan fizikal.”

Misi tiga kali juara: Victoria Institution kembali ke pentas akhir dengan satu matlamat — menjadi pasukan pertama dalam sejarah SSR yang memenangi tiga kejuaraan.

MRSM Balik Pulau atau BP Cougars menjadi antara kisah kejayaan terbesar SSR musim ini. Dalam hanya penampilan kedua mereka, mereka mara ke final tanpa kalah — selepas menjadi separuh finalis pada musim sulung pada 2024. Dengan 191 mata dijaringkan, mereka adalah pasukan paling prolifik musim ini.

Menanti mereka ialah Victoria Institution atau VI Blues — dua kali menjulang kejuaraan SSR pada 2017 dan 2023, yang kini mengintai kejuaraan ketiga. Mereka menunjukkan disiplin taktikal yang tinggi, dengan hanya 18 mata dibolosi sepanjang enam perlawanan — rekod pertahanan terbaik musim ini.

Perlawanan akhir tahun ini akan disiarkan secara langsung di Astro Arena serta platform Sooka — pertama kali dalam sejarah SSR, perlawanan akhir ditayangkan secara langsung di saluran TV arus perdana.