KATEGORI A atau B, nasib skuad bawah 23 tahun (B-23) negara ke Sukan SEA Thailand 2025 hanya akan ditentukan selepas aksi Kelayakan Piala Asia B-23 pada September ini.
Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, penilaian hanya akan dibuat berdasarkan prestasi skuad Harimau Muda dalam kejohanan yang dijadual dari 1 hingga 9 September depan.
“Untuk bola sepak, kita perlu tunggu Kelayakan Piala Asia pada September ini sebelum kita boleh tentukan mereka layak atau tidak ke kategori A,” katanya.
Sebagai rekod, kategori A membolehkan pasukan atau atlet menerima tajaan penuh kerajaan, manakala kategori B memerlukan persatuan menanggung kos sendiri yang hanya akan dibayar semula jika membawa pulang sekurang-kurangnya pingat gangsa.
Kali terakhir skuad bola sepak negara berada dalam kategori A adalah pada temasya Sukan SEA Filipina 2019.
Sementara itu, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin menegaskan peluang skuad B-23 masih terbuka namun mereka perlu membuktikan kemampuan di pentas kelayakan itu.
“Kalau mereka layak dan berada di kedudukan keempat terbaik Asia Tenggara, automatik mereka akan layak kategori A,” katanya yang enggan mengulas mengenai skuad bola sepak wanita.