KETUA jurulatih Kuala Lumpur (KL) City FC, Miroslav Kuljanac meletakkan sasaran utama untuk meraih kemenangan di laman sendiri, pada aksi pembukaan Piala Shopee 2024 yang akan berlangsung pada Rabu.
Menurut jurulatih kelahiran Croatia itu, misi memburu tiga mata dalam perlawanan menentang Kaya IloIlo adalah satu perkara penting, demi meningkatkan motivasi pemain setelah tewas dua perlawanan Liga Super berturut-turut.
Justeru, Piala Shopee yang diadakan buat julung kalinya ini memberi satu titik permulaan baharu buat skuad The City Boys untuk kembali bangkit sekali gus mengatasi cabaran yang akan diletakkan oleh skuad Kaya IloIlo esok.
“Saya lihat mereka berdisiplin dari segi taktikal. Tidak dinafikan, mereka adalah sebuah pasukan yang tidak boleh kita pandang rendah dalam perlawanan yang akan berlangsung esok malam.
“Mereka juga mempunyai kekuatan dan kelebihan tersendiri apabila bertanding dalam kempen Liga Juara-juara AFC (tahun lalu). Jadi sekarang, kita tahu siapa yang kita akan lawan esok,” ujar Miroslav dalam sesi sidang media pra-perlawanan KL City FC dan Kaya IloIlo.
Dalam perkembangan sama, pengendali The City Boys turut mendedahkan bahawa penyerang importnya, Patrick Reichelt ibarat menjadi ‘duri dalam daging’ kerana membantu serba sedikit persiapan pasukan untuk bertemu skuad utama Filipina itu.
“Dia (Reichelt) cukup mengenali pemain-pemain Kaya kerana pernah beraksi bersama dalam skuad kebangsaan Filipina. Jadi segala informasi yang diberikan, akan dimanfaatkan oleh KL City dalam pertemuan esok.
“Namun begitu, kita tetap tidak memandang rendah akan kemampuan pasukan mereka, kerana mereka berkelebihan pernah beraksi di pentas ACL 2023-2024 sebelum ini,” tambah beliau.