TIGA perseorangan lelaki Bawah 17 tahun (B-17) negara mara ke separuh akhir Kejohanan Badminton Remaja Asia B-17 dan B-15, di Nonthaburi, Thailand, sekali gus menunjukkan ada sinar untuk masa depan badminton Malaysia.
Muhammad Faiq, Sng Wei Ming dan Aaron Tai beraksi cemerlang, sekali gus menutup kesuraman prestasi pemain bawah 15 tahun yang gagal menempatkan diri ke separuh akhir pada Sabtu.

Muhammad Faiq akan menentang rakan senegara Sng Wei Ming di separuh akhir Kejohanan Remaja Asia B-17.
Aaron Tai terlebih dahulu layak ke separuh akhir selepas mengatasi pemain Hong Kong, Lam Ka To 21-123, 21-19, 21-19 untuk menempah pertemuan dengan pemain Taiwan, Su Wei-Cheng.
Sementara Muhammad Faiq akan berdepan rakan senegara Wei Ming esok, selepas pilihan utama itu mengatasi pemain Ondonesia, Mohamad Zaki Ubaidillah 16-21, 21-17, 21-19. Wei Ming pula mengatasi Ryan Putra Widyanto jgua dari Indonesia 21-17, 10-21, 22-20.

Aaron Tai turut ke separuh akhir B-17, akan berdepan pemain Taiwan, Su Wei-Cheng.
Muhammad Faiq akan beraksi dalam dua acara esok apabila layak ke separuh akhir beregu lelaki, bersama gandingannya Lok Hong Quan, selepas mengatasi gandingan Taiwan, Bao Xin-Tsai Cheng Ying 22-20, 21-18.
Turut cemerlang, beregu campuran Kang Khai Xing-Clarissa San yang mengatasi pilihan ketiga dari Indonesia, Fredy Prasetya-Anindiya Wardana 21-19, 20-22, 24-22.

Kang Khai Xing-Clarissa San akan berdepan cabaran pemain Taiwan, Bao Xin-Hsieh Mi Yen di separuh akhir beregu campuran pada Sabtu.