EKSKLUSIF Oleh: MOHD FARIQ

Mungkin itu simpulan bahasa yang boleh dikaitkan dengan kepulangan legenda Singapura, Fandi Ahmad bersama Sri Pahang FC.

Ketika panggilan ini dibuat bersama Fandi, sosok figura ini sedang berada di salon untuk memotong rambutnya di mana jelas Fandi mahu imej baharu khusus kepada pasukan baharunya.

Inilah semangat berkobar-kobar yang membara Fandi dan beliau jelas mahukan permulaan sempurna sebelum memulakan tugas sebagai Pengarah Teknikal Sri Pahang.

“Saya berterima kasih kepada Sri Pahang FC, sudah pasti kepada Presiden, Tengku Abdul Rahman ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah. Ia sangat bagus kerana dapat kembali pulang bersama Sri Pahang FC.

Fandi dan Dollah bakal bergandingan mengurusan skuad Sri Pahang FC.

“Ia akan menjadi satu dimensi baharu biarpun sedikit ‘different game’ jika berbanding dahulu sebagai pemain tetapi kini menjadi sebagai Pengarah Teknikal.

“Saya berasa sangat gembira kerana dapat kembali bekerjasama dengan Dollah Salleh di mana kami selalu berhubung.

“Insyaallah, Saya akan memberikan yang terbaik berdasarkan pengalaman yang sedia ada kepada Sri Pahang kerana ia merupakan satu tanggungjawab yang cukup besar untuk menjadi Pengarah Teknikal.

“Terima kasih kepada semua doa dan kata-kata semangat daripada penyokong Sri Pahang yang sentiasa menerima kehadiran saya,” katanya kepada FLASH SUKAN.

Apa yang pasti, kelibat Fandi bakal menyerikan lagi industri bola sepak tempatan sebagaimana nama bekas pemain Singapura itu antara salah satu nama besar dalam Liga Malaysia.

Fandi (kiri) bersama Dollah (ketiga) pernah bersama dalam skuad Tok Gajah pada era 1990-an. Foto kredit pemilik.

Fandi,60 yang merupakan bekas pemain skuad Tok Gajah ketika mewakili pasukan itu pada tahun 1991, dijangka tidak akan berdepan masalah besar sebagaimana beliau telah memiliki pengalaman mengendalikan pasukan Liga Malaysia seperti Johor Darul Ta’zim (JDT) pada tahun 2012.

Bekas ketua jurulatih pasukan JDT itu kemudian meletak jawatan sebagai pengurus pasukan Harimau Selatan pada 19 Ogos 2013.

Semasa bersama Pahang, Fandi melakar kenangan manis apabila merangkul gelaran berganda Liga Perdana dan Piala Malaysia pada tahun 1992.

Sebelum itu, pada tahun 1987, 1988 dan 1989, dia membantu Kuala Lumpur menjulang gelaran hatrik Piala Malaysia menewaskan Kedah, satu pencapaian terbaik skuad warga kota pada ketika itu.