SELANGOR FC akhirnya meraih tiga mata pertama dalam kempen Liga Super 2025/26 selepas menundukkan DPMM FC 3-0 di Stadium MBPJ, malam Selasa.

Perlawanan bermula garang apabila Kevin membuka tirai jaringan seawal minit kelima menerusi hantaran lintang Quentin dari sebelah kanan.

DPMM FC sempat mencetuskan harapan penyamaan pada minit ke-13 menerusi Ramadan Sanata, namun jaringan itu dibatalkan selepas semakan VAR mengesahkan kedudukan offside.

Selangor terus menekan dan hampir menambah jaringan pada minit ke-29 dan 31, namun percubaan William Lira melambung tinggi manakala sepakan Zach Clough sekadar menggegar palang.

Usaha berterusan tuan rumah akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-35 apabila hantaran ‘cut back’ Quentin sekali lagi disempurnakan Kevin untuk gol kedua.

Babak kedua menyaksikan tempo lebih seimbang, namun kemasukan Faisal Halim pada minit ke-58 memberi nafas baharu buat Selangor.

Pemain lincah itu hampir mencipta assist sejurus dimasukkan, sebelum gerakan cantik ‘backheel’ Faisal kepada Quentin pada minit ke-66 membolehkan hantaran lambungnya disudahkan Chrigor Flores Moraes menerusi tandukan padu menewaskan penjaga gol DPMM.

Kemenangan di hadapan 4,260 penyokong ini bukan sahaja menandakan tiga mata pertama buat Selangor, malah membuktikan kebangkitan mereka untuk mencabar dalam saingan liga.