PENGUMUMAN Malaysia Football League (MFL) mengenai penstrukturan Liga Malaysia yang menyaksikan 18 pasukan akan bertanding dalam Liga Super musim hadapan disambut baik oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Dengan pertambahan pasukan ini, jumlah perlawanan juga ditingkatkan kepada 34 berbanding 22 perlawanan ketika ini sekaligus dapat memberikan lebih minit permainan kepada para pemain.
Pengarah Teknikal FAM, Scott O’Donnell menganggap perkara ini adalah sesuatu yang cukup baik buat skuad kebangsaan dan memuji tindakan berani MFL melakukan perubahan.
Scott yang ditanya media ketika sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Kali Ke-5 Bagi Penggal 2021-2025 berkata ianya juga bagus untuk pemain tempatan membuktikan kemampuan mereka dalam merebut kesebelasan utama.
“Ianya adalah langkah yang baik untuk skuad kebangsaan kerana pemain tempatan dan pemain muda dapat bermain 34 perlawanan pada musim hadapan.

“Secara tidak langsung ianya akan menjadi cabaran buat para pemain tempatan untuk membuktikan kemampuan mereka kepada jurulatih agar berada di dalam pasukan kerana tidak semua pasukan akan menandatangani sembilan pemain import.
Skuad kebangsaan terutama skuad Harimau Muda kini akan mempunyai pilihan pemain yang ramai apabila MFL memutuskan untuk mewujudkan Liga Simpanan dengan had umur di bawah 23 tahun.