KELAB Bolasepak Sri Pahang mengumumkan pengurus pasukan Dollah Salleh telah dilantik sebagai ketua jurulatih interim pasukan Liga Super Sri Pahang sehingga akhir musim ini.
Dia akan mengambil alih tugasan daripada Christophe Gamel yang tidak diteruskan khidmatnya.
“Kelab juga mengucapkan terima kasih dan selamat maju jaya kepada Christophe Gamel,” kata kenyataan itu pada Khamis.

Sementara itu, Sri Pahang mengumumkan Fandi Ahmad sebagai Penasihat Teknikal kelab.
Fandi bukanlah nama asing dalam kalangan penyokong Sri Pahang, apabila pernah menyarung jersi Tok Gajah selama dua musim dan merupakan anggota skuad kejuaraan berganda Liga Premier dan Piala Malaysia 1992.
“Semoga kepakaran dan pengalaman Fandi Ahmad akan memanfaatkan pasukan Sri Pahang,” katanya.
Sri Pahang kini berada dua tangga tercorot liga dan hanya mengutip lapan mata selepas beraksi 11 perlawanan.