PENGENDALI Malaysia Bawah-23 tahun, Nafuzi Zain menyifatkan pasukan itu perlu melakukan persiapan yang lebih rapi bagi kejohanan antarabangsa yang akan datang.
Beliau berkata demikian selepas Malaysia seri tanpa jaringan menentang Indonesia semalam, sekaligus menyaksikan skuad Harimau Muda itu tersingkir dari kejohanan Piala Mandiri ASEAN B-23.
“Kita perlu merancang dengan lebih baik bagi kejohanan akan datang. Kita tahu kejohanan ini merupakan kejohanan bawah umur jadi pemain-pemain yang dibawa mungkin belum cukup berpengalaman bermain di peringkat antarabangsa.
“Menerusi kejohanan seperti ini, para pemain telah belajar apa yang diperlukan untuk bermain di peringkat ini dan saya berharap ia mematangkan mereka untuk menghadapi aksi Kelayakan Piala Asia B-23 pada bulan September ini,” katanya semalam.
Beliau juga memuji pemain-pemainnya yang mampu menampilkan aksi juang yang tinggi di hadapan 27 ribu penyokong tuan rumah di Stadium Gelora Bung Karno.

Pasukan Malaysia B-23 beraksi di hadapan 27 ribu penyokong tuan rumah di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta.
“Saya kecewa kami tidak mara ke separuh akhir, tetapi apa yang kami lihat pada perlawanan malam ini (semalam) membuktikan bahawa prestasi kami semakin meningkat dari satu perlawanan ke satu perlawanan, kerana ini adalah skuad muda yang baru dibentuk,” tambahnya lagi.
Pasukan Malaysia B-23 kini mempunyai tempoh lima minggu sebelum menghadapi Kelayakan Piala Asia B-23 pada awal September nanti.