KETUA Jurulatih Bawah 23 Negara, Brad Maloney masih percaya skuad kendaliannya dapat membawa pulang tiga mata dengan menewaskan Vietnam pada perlawanan terakhir Kumpulan C Piala Asia B-23 pada Rabu.
Maloney juga meluahkan rasa kecewa kerana usaha keras anak buahnya masih tidak mendapat ganjaran dan dia bersedia untuk memberikan minit permainan kepada beberapa pemain bagi mendapatkan pengalaman.
“Sudah tentu objektif utama adalah untuk beraksi cemerlang dari perlawanan ini dan membawa pulang tiga mata dari kejohanan ini. Vietnam adalah pasukan yang bagus tetapi saya percaya para pemain dapat memberikan saingan kepada mereka.
“Saya rasa pemain masih dahagakan kemenangan dan tidak mendapat ganjaran yang sewajarnya. Kami telah dihukum oleh beberapa kesilapan dan pemain masih mahu mendapatkan sesuatu daripada pasukan ini.
“Beberapa pertukaran perlu dilakukan akibat daripada kelesuan pemain. Kami perlu menilai semula kecergasan pemain menerusi data GPS. Luqman mengalami masalah di bahagian perut dan kami perlu melihat keadaannya sebelum perlawanan esok.
“Saya juga akan memberikan beberapa pemain minit perlawanan terutama buat 15 pemain yang masih boleh beraksi untuk kejohanan akan datang. Kami hadir sebagai pasukan yang paling muda dan minit permainan ini akan dapat membantu mereka mendapatkan pengalaman,” kata pengendali berasal dari Australia ini.
Skuad B23 Kebangsaan sudah tersingkir dari kejohanan selepas tewas kepada Korea Selatan dan Thailand dan kini akan bermain demi maruah dalam perlawanan terakhir menentang Vietnam esok.