MUHAMMAD Abu Khalil yang bakal membuat penampilan bersama sebuah kelab di Liga Jepun (J3) nanti, dianggap sebagai satu pencapaian terbaik sekali gus membawa nama bola sepak Malaysia lebih tinggi.

Perkara ini turut meraih perhatian pengendali pasukan skuad Bawah 19 (B-19) negara, Juan Torres Garrido yang mempercayai kualiti pada pemain berusia 19 tahun itu dan yakin peluangnya lebih terbuka untuk mengembangkan bakat di negara Jepun.

Menurutnya, bakat yang ada pada Muhammad adalah setanding dengan peluang yang dimilikinya untuk berhijrah ke luar negara dan tidak menjadi masalah dengan kualiti sedia ada pada dirinya.

“Itu satu destinasi bagus buat dia, jika diberikan waktu yang cukup maka prestasi dia juga akan lebih baik di luar sana. Ada baik juga bakat seperti ini lebih banyak di Malaysia dan turut bagus jika pemain dapat peluang ke luar negara.

Skuad B-19 Tahun kebangsaan menjalani latihan menjelang aksi Kejohanan Asean di Indonesia minggu depan.

“Saya percaya pada dia dan saya sudah mengenalinya dengan baik dari tahun lalu bersama B-23. Hanya adaptasi yang diperlukan sebab berkelana di luar bukan satu perkara mudah dari aspek budaya, tetapi kalau segi kualiti tidak perlu dirisaukan,” kata Torres ketika ditemui pada Isnin.

Muhammad akan berkhidmat buat skuad B-19 negara menjelang Kejuaraan Asean B-19 di Indonesia sebelum memulakan ekspedisi ke negara Jepun dengan menjadi sebahagian pemain daripada kelab FC Osaka.

Terdahulu, FLASH SUKAN melaporkan bahawa pihak pengurusan Bola Sepak Selangor telah bersetuju untuk meminjamkan pemain muda Selangor FC itu kepada FC Osaka, kelab Jepun yang beraksi di Liga J3 bermula Julai ini.