PELUMBA cilik negara yang berlatih di Itali, Travis Teoh berkunjung ke Parlimen bertemu Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh baru-baru ini.

Travis bukan kanak-kanak biasa apabila berada di bawah seliaan juara dunia dua kali Formula Satu, Fernando Alonso yang juga pemilik A14 Management sekali gus memudahkan pembangunan pemandu perlumbaan muda Malaysia.

Kerjaya perlumbaan Travis bermula dengan Double R Motorsport (DRM), di mana semasa berumur enam tahun, dirinya menerima bimbingan daripada Mohd Rohairijaz Mohd Ropin pemilik pasukan perlumbaan.

Di bawah sayap DRM, Travis memenangi banyak gelaran kebangsaan dan antarabangsa sepanjang karier perlumbaannya.

Travis dipilih oleh Fernando Alonso untuk menyertai program pembangunan bakat mudanya melalui (DPK Racing, pemenang untuk 2022 Kejohanan Dunia FIA-CIK, Kelas OK).

“Saya sedang mencari jalan untuk meningkatkan dan mempromosikan bakat Malaysia di peringkat dunia melalui perkongsian strategik. Tahniah kepada Travis, Fernando Alonso dan A14,” kata Hannah.

Beliau juga bertanya kepada Travis sama ada dia boleh memberitahu kepadanya sesuatu tentang dirinya. Jawapan diberi Travis meninggalkan kesan yang berkekalan kepada Hannah.

“Dia berkata bekerja keras untuk segala-galanya, untuk merealisasikannya dan masih akan bekerja lebih keras.

“Ini bukan jawapan biasa daripada budak lelaki berumur 12 tahun. Saya tahu dia serius tentang perlumbaan. Saya ingin memastikan saya tidak ketinggalan menyokong bakal juara dunia Malaysia,” katanya.