PEMANDU pasukan Mercedes AMG Petronas, Lewis Hamilton berkata bahawa pasukan itu tidak mendengar kerisauan yang disuarakannya mengenai pembangunan jentera untuk musim 2023.

Ini selepas juara dunia tujuh kali itu sekadar menamatkan perlumbaan di tangga kelima ketika Grand Prix Bahrain yang juga menyaksikan pasukan itu melakukan satu lagi permulaan musim yang sukar.

Kenyataan Hamilton ini hadir selepas Prinsipal Pasukan Mercedes, Toto Wolff mengakui mereka melakukan kesilapan kerana masih menggunakan filosofi jentera mereka selepas musim 2022 yang sukar.

 

Kebanyakan pasukan sudah mula mengikuti filosofi kejuruteraan yang dilakukan Red Bull Racing musim lalu yang menyaksikan Max Verstappen berjaya mendominasi kejuaraan dengan 15 kemenangan.

Lain pula dengan Mercedes yang masih menggunakan cara mereka yang unik dengan menampilkan badan jentera yang lebih kecil bersebelahan pemandu yang dikenali dengan konsep ‘zero-sidepod’.

“Tahun lalu saya ada memberitahu mereka beberapa perkara yang menjadi isu kepada jentera. Saya sudah memandu pelbagai jentera F1 dalam hidup saya. Saya tahu apa yang jentera perlukan dan apa yang tidak diperlukan.

“Ianya tentang tanggungjawab dan berkata ya sebenarnya kami tidak mendengar kerisauan anda dan ianya tidak sepatutnya berlaku dan kami akan atasinya. Kami akan melihat keseimbangan jentera pada selekoh, lihat pada segala titik kelemahan dan bekerja sebagai satu pasukan. Itu yang kami perlu lakukan.

“Kami masih lagi juara dunia yang tidak melakukan perkara yang betul musim lalu dan juga pada perlumbaan pertama tetapi itu bukan bermaksud kami tidak mampu melakukan perkara yang betul selepas ini,” katanya dalam satu temubual di England.

Bagaimanapun, pelumba kulit hitam pertama sukan ini yakin bahawa Mercedes masih mampu untuk mencabar kelompok hadapan dalam kejuaraan musim ini.

Wolff turut mengakui di Bahrain bahawa pasukan itu perlu berubah jika mereka ingin kembali ke hadapan dan Mercedes telah memulakan minggu ini dengan mengadakan mesyuarat untuk mengenalpasti langkah apa yang terbaik boleh dilakukan untuk meningkatkan lagi prestasi jentera mereka.

Kejuaraan Formula 1 2023 akan bersambung kembali pada 17 hingga 19 Jun di Litar Jalanan Jeddah untuk Grand Prix Arab Saudi yang bakal menjawab sama ada Mercedes sudah kembali atau masih banyak perkara yang perlu dilakukan.