Kredit Gambar: MANAN VATSYAYANA / AFP
Malaysia secara rasmi kembali mewarnai pentas Formula Satu (F1) apabila Litar Antarabangsa Sepang (SIC) disahkan menjadi tuan rumah Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix in Malaysia dari 2 hingga 4 Oktober 2026.
Pengumuman bersama Formula 1 dan Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) itu menyaksikan perlumbaan berprestij berkenaan kembali ke Sepang buat kali pertama sejak 2017, sekali gus mengakhiri penantian hampir sembilan tahun peminat sukan permotoran tanah air.
Perlumbaan itu akan berlangsung di antara Grand Prix Azerbaijan dan Grand Prix Singapura, namun kekal menggunakan nama Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix in Malaysia, tertakluk kepada pemeteraian perjanjian akhir serta kelulusan rasmi Majlis Sukan Permotoran Dunia (World Motor Sport Council).
Persetujuan tersebut dicapai hasil kerjasama Formula 1, FIA, Kerajaan Bahrain dan Kerajaan Malaysia bagi memastikan perlumbaan Bahrain kekal berada dalam kalendar F1 musim 2026, manakala baki jadual perlumbaan tidak mengalami sebarang perubahan.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Formula 1, Stefano Domenicali berkata, keputusan itu membuktikan keupayaan sukan berkenaan menyesuaikan diri dalam apa jua keadaan tanpa menjejaskan kalendar perlumbaan.
“Kami gembira mengesahkan Malaysia akan menjadi tuan rumah Grand Prix Bahrain pada 2026. Sekali lagi Formula 1 membuktikan keupayaannya mencari penyelesaian bagi memastikan peminat terus menikmati kalendar perlumbaan yang lengkap.
“Malaysia ialah sebuah negara yang luar biasa dan Sepang mempunyai tempat istimewa dalam sejarah Formula 1. Litar ini sentiasa menjanjikan perlumbaan menarik dan pengalaman hebat buat peminat,” katanya.
Sementara itu, Presiden FIA, Mohammed Ben Sulayem menyifatkan kepulangan Formula 1 ke Sepang sebagai hasil kerjasama erat semua pihak yang mengutamakan keselamatan serta kelangsungan kejohanan.
Beliau berkata, Malaysia mempunyai sejarah panjang bersama Formula 1 dan kembali menjadi destinasi perlumbaan membuktikan komitmen kerajaan serta hubungan kukuh bersama Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula menyambut baik kerjasama antara Malaysia dan Bahrain, sambil menyifatkannya sebagai simbol persahabatan erat kedua-dua negara.
“Kami berbesar hati dapat menyokong Bahrain, Formula 1 dan FIA dalam menganjurkan Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix di Litar Antarabangsa Sepang.
“Kerjasama ini bukan sekadar menganjurkan acara sukan bertaraf dunia, malah mencerminkan hubungan erat antara Malaysia dan Bahrain serta membuktikan keupayaan negara menjadi tuan rumah acara antarabangsa berskala besar,” katanya.
Sepang mula menjadi sebahagian daripada kalender Formula 1 pada 1999 dan dikenali sebagai antara litar paling mencabar di dunia dengan kombinasi cuaca tropika, selekoh teknikal serta perlumbaan yang sering mencetuskan aksi dramatik.
Perlumbaan Formula 1 terakhir di Sepang berlangsung pada 2017 dengan Max Verstappen muncul juara, sebelum Malaysia disingkirkan daripada kalendar F1. Kini, litar ikonik itu bakal kembali menjadi tumpuan dunia apabila menjadi gelanggang perlumbaan Formula 1 sekali lagi pada Oktober ini.