MINUMAN isotonik nombor satu negara, 100PLUS, meneruskan komitmen terhadap sukan badminton tanah air dengan melanjutkan kerjasama bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk tempoh empat tahun lagi sehingga 2028.

Perkongsian strategik ini telah bermula sejak 2003, kini memasuki tahun ke-21 dan terus menjadi tonggak utama pembangunan badminton Malaysia.

Selain menaja skuad kebangsaan, 100PLUS juga kekal sebagai Rakan Minuman Rasmi untuk kejohanan-kejohanan BAM seperti Badminton Terbuka Malaysia dan Masters Malaysia.

Dalam usaha memperkukuhkan pembangunan pemain muda, 100PLUS terus menjadi penyokong utama Sirkit Remaja Kebangsaan 100PLUS, yang kini telah dijenamakan semula sebagai Jelajah Elit Remaja.

Sekitar Majlis Menandatangani Perjanjian Rasmi antara BAM & 100PLUS

Selain itu juga, program pembangunan seperti Kejohanan Antara Negeri Kebangsaan Bawah 12 & Bawah 16, akan terus didokong oleh 100PLUS.

Menurut Ketua Pegawai Pemasaran F&N Beverages Marketing Sdn Bhd, Leong Wai Yin, pihak 100PLUS berbangga dapat meneruskan kerjasama erat ini.

“Apabila kami mula bekerjasama dengan BAM, hasrat kami adalah untuk menyumbang kepada badminton Malaysia dan usaha negara untuk mencapai kejayaan di peringkat antarabangsa. 

“Kami ingin melihat pemain kita memenangi kejohanan utama seperti Kejohanan Dunia dan Olimpik.

“100PLUS juga telah berada cukup lama untuk melihat pemain berkembang dari peringkat remaja ke peringkat senior.

“Beberapa pemain kita telah mencatatkan kejayaan luar biasa di pentas antarabangsa seperti memenangi kejohanan Jelajah BWF dan Kejohanan Dunia,” katanya dalam sidang media yang diadakan pada Isnin

Majlis pengumuman lanjutan kerjasama ini turut dihadiri oleh Pemangku Presiden BAM, Datuk V. Subramaniam,  Pengarah Urusan F&N Beverages Marketing Sdn Bhd, Encik Jordan Ng, dan Setiausaha Agung BAM Datuk Kenny Goh.

Sebagai sebahagian daripada perjanjian ini, 100PLUS akan terus menjadi minuman pilihan bagi pemain BAM termasuk mereka yang bertanding di kejohanan antarabangsa seperti Terbuka Malaysia dan Masters Malaysia.

Antara barisan pemain badmintan negara yang telah dilantik sebagai Duta Jenama 100PLUS.

Justeru, untuk memberi motivasi tambahan kepada pemain kebangsaan, 100PLUS turut melantik beberapa pemain sebagai Duta Jenama antaranya, ialah bekas juara dunia Aaron Chia-Soh Wooi Yik, pasangan beregu wanita Pearly Tan-Thinaah Muralitharan.

Tidak ketinggalan, pasangan beregu campuran Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dan pemain perseorangan utama negara, Lee Zii Jia, yang juga menerima tajaan daripada 100PLUS.

“Kami teruja dan tidak sabar untuk terus bekerjasama dengan Datuk Subramaniam dan pasukan BAM bagi tempoh empat tahun akan datang,” ujar Wai Yin sambil menzahirkan penghargaan kepada Tan Sri Norza Zakaria atas sumbangan dan sokongannya selama ini.

Manakala, Pemangku Presiden BAM, Datuk V. Subramaniam, turut menzahirkan rasa syukur atas sokongan yang telah diberikan ini.

“Melahirkan pemain bertaraf dunia memerlukan kos yang besar, tetapi dengan sokongan berterusan daripada penaja seperti 100PLUS kami dapat terus melabur dalam pembangunan pemain dan mengembalikan kedudukan Malaysia antara negara badminton elit di dunia. 

“Perkongsian ini mencerminkan visi bersama untuk masa depan badminton Malaysia,” tambahnya.

Dengan rekod cemerlang sebagai Penaja Perak bagi Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dan Sukan Para ASEAN 2017, serta menyokong pelbagai program sukan Kementerian Belia dan Sukan, 100PLUS terus membuktikan komitmennya terhadap pembangunan sukan negara.

Kerjasama yang dilanjutkan sehingga 2028 ini diharapkan dapat terus memberi impak positif kepada arena badminton Malaysia, sekaligus membuka lebih banyak peluang untuk pemain kebangsaan bersinar di pentas dunia.