TIDAK mencapai sasaran, itu pengakuan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengenai prestasi atletnya di Sukan Olimpik Paris 2024.

Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh berkata, pihaknya tidak mahu berdolak dalik mengenai kegagalan memenangi satu pingat emas.

“Pandangan peribadi saya adalah kami tak capai sasaran kerana harapannya adalah untuk raih keputusan lebih baik. Sudah tentu kami sangat mahukan memenangi pingat emas, tetapi tidak dapat lakukannya.

Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh akui gagal membawa pulang pingat emas, namun ada petanda positif dipamer pemain.

“Saya tak mahu beri alasan, sebaliknya kami mahu segera meletakkan segala-galanya di belakang dan perlu buat penambahbaikan, mengenalpasti apa kesilapan dan kelemahan kami, tetapi sepanjang proses ke Olimpik, pastinya masih ada sesuatu yang kami buat dengan betul,” kata Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh pada sidang media hari ini.

Daripada tiga wakil pemain BAM ke temasya itu, hanya satu pingat gangsa yang diraih menerusi Aaron Chia-Soh Wooi Yik, manakala satu lagi dihadiahkan pemain profesional, Lee Zii Jia.

Menurutnya, beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah pula mempamer aksi membanggakan mara sehingga ke perlawanan penentuan gangsa, manakala beregu campuran, Cheng Tan Jie-Toh Ee Wei kandas di suku akhir.

Mengulas lanjut, Kenny berkata, meskipun gagal mencapai sasaran memenangi emas, badminton masih lagi sukan yang kekal menyumbang pingat pada temasya sukan terbesar dunia itu.

“Betul kami gagal capai sasaran tapi badminton masih sukan yang sumbang pingat kepada kontinjen negara di hampir setiap Sukan Olimpik.

“Mungkin ada yang cakap sekadar (menang) gangsa, tapi hakikatnya bukan mudah (untuk raih gangsa). Apapun terima kasih atas setiap sokongan yang diberikan kepada barisan pemain negara,” katanya.