PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) menjemput pemain profesional menyertai sesi perlawanan latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), dalam usaha meningkatkan kualiti latihan pemain baik yang bernaung di bawah badan induk badminton negara itu, mahupun dari kelab.
Dalam satu kenyataan yang diedarkan, BAM membuka sesi latihan bersama buat pemain profesional untuk ke ABM setiap hari Rabu dan Jumaat.
Menurut kenyataan itu, pemain perseorangan yang berada dalam ranking 50 terbaik dunia dan beregu dalam ranking 30 terbaik dunia, layak menyertai latihan bersama itu, yang dirasakan amat perlu untuk masa depan badminton Malaysia.
Pemain atau kelab yang berminat berkerja sama menghantar pemainnya berlatih di BAM, diminta menghubungi Pengarah Kejurulatihan badan induk itu, untuk menyatakan hasrat mereka bagi tujuan pengurusan.