KEPULANGAN K.Letshanaa ke pangkuan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) disambut baik rakan sepelatih perseorangan wanita.
Bagi Siti Nurshuhaini Azman, dia dan rakan-rakan amat gembira apabila mendapat perkhabaran Letshanaa kembali menyertai BAM.
“Yang pertama, kami seronok Letshanaa kembali dan bertambah pemain perseorangan wanita kerana kami ni sedikit.
“Kedua, dia pernah berada dalam BAM, keluar dan kini kembali… sememangnya dia seorang pesaing dan kami rasa mahu mencipta nama bersama-sama,” kata Siti Nurshuhaini.

Perseorangan Wanita Negara, Siti Nurshuhaini Azman harapkan untuk mencipta nama bersama rakan sepasukan.
Pemain yang berusia 19 tahun berasal dari Rawang Selangor itu berkata, dengan kemasukan Letshanaa, kini BAM memiliki lima pemain perseorangan wanita yang semuanya sebaya.
Selain Siti Nurshuhaini, Wong Ling Ching (20), Tan Zhing Yi (20) dan Oo Shan Zi (16), BAM kini memiliki lima perseorangan wanita termasuk Letshanaa, 20.

Wong Ling Ching anggap, kemasukan semula K Letshanaa menambah saingan dalam perseorangan wanita negara.
Bagi Ling Ching pula, kehadiran Letshanaa pastinya memberi impak positif kepada skuad perseorangan wanita negara.
“Kehadiran dia membuatkan kami bertambah ramai, jadi kami akan ada lebih ramai rakan sepelatih dan mungkin program latihan juga akan lebih pelbagai selepas ini,” kata Ling Ching.
Letshanaa muncul juara Cabaran Antarabangsa Uganda minggu lalu, diumumkan BAM diserap masuk di bawah payung badan induk badminton negara selepas kira-kira setahun meninggalkan BAM kerana masalah kecederaan belakang.