PEMAIN kebangsaan di bawah Persatuan Badminton Malaysia (BAM) berpotensi kembali menjalani latihan di Stadium Juara, Bukit Kiara, selepas Kementerian Belia dan Sukan Malaysia (KBS) mengesahkan perbincangan mengenainya berada di fasa akhir untuk dimuktamadkan.
Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, pihaknya sudah mengadakan perbincangan awal dengan kepimpinan BAM kira-kira dua minggu lalu bagi meneliti cadangan menggunakan stadium berkenaan sebagai fasiliti latihan tambahan, selepas Akademi Badminron Malaysia (ABM) tidak mampu menampung kapasiti pemain.
Menurutnya, stadium itu mempunyai kelebihan tersendiri terutama dari segi lokasi yang lebih dekat selain mampu memudahkan pergerakan atlet dan jurulatih.

Stadium Juara pernah menjadi gelanggang latihan dan kejohanan badminton sebelum kewujudan Akademi Badminton Malaysia.
“Stadium itu dekat dan dari segi pengangkutan serta logistik juga lebih mudah sekali gus dapat menjimatkan masa atlet serta jurulatih untuk menjalani latihan,” katanya.
Beliau berkata, pihak kementerian juga sudah memanggil Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) bagi mengadakan perbincangan lanjut dalam usaha mencari keputusan terbaik berkaitan perkara itu.
Menurutnya, keputusan lanjut mengenai cadangan berkenaan dijangka dimuktamadkan selepas Hari Raya Aidilfitri bagi memastikan kebajikan serta keperluan atlet terus diberi perhatian.

Terdahulu, beliau turut mengadakan lawatan ke ABM, berkesempatan meninjau fasiliti sedia ada dan bertemu pemain kebangsaan.
Dalam masa sama, beliau berkata isu tambahan bajet yang dibangkitkan BAM masih dalam perbincangan dengan KBS yang turut menggalakkan persatuan mendapatkan tajaan luar sambil meneliti cadangan termasuk berbincang dengan Kementerian Kewangan Malaysia bagi memperkukuh pembangunan badminton negara.