PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) mengumumkan rombakan besar dalam skuad beregu lelaki negara apabila beberapa gandingan baharu akan memulakan cabaran mereka dalam siri kejohanan antarabangsa akan datang.

Tumpuan utama sudah pasti terarah kepada pemisahan pasangan beregu utama negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik yang sebelum ini mencipta pelbagai kejayaan di pentas dunia termasuk gelaran juara dunia serta pingat gangsa Olimpik.

Berdasarkan pengumuman BAM, Aaron akan bergandingan dengan Aaron Tai bagi saingan Terbuka China, Terbuka Taipei dan Terbuka Korea, manakala Wooi Yik akan membentuk gandingan baharu bersama Man Wei Chong untuk tiga kejohanan tersebut.

Dalam masa sama, Tee Kai Wun akan digandingkan bersama Yap Roy King, sementara Wan Arif Wan Junaidi bergandingan dengan Kang Khai Xing.

Bagi saingan Terbuka Jepun pula, BAM melakukan beberapa perubahan dengan Wooi Yik kekal bersama Man Wei Chong, Wan Arif dipasangkan dengan Yap Roy King, manakala Kang Khai Xing akan bergandingan bersama Aaron Tai.

Turut diumumkan, Aaron Chia dan Tee Kai Wun dijadual memulakan kerjasama mereka menerusi siri Jelajah Eropah pada Oktober depan.

Langkah rombakan itu dilihat sebagai sebahagian daripada usaha BAM untuk menilai kombinasi terbaik menjelang kejohanan-kejohanan utama akan datang termasuk kelayakan ke temasya Olimpik Los Angeles 2028.

Semua gandingan baharu itu dijangka memulakan kempen pertama mereka dalam beberapa kejohanan bertaraf BWF World Tour yang berlangsung dalam tempoh terdekat.