PASUKAN Wolves memberi penghormatan kepada bapa Mario Lemina yang telah meninggal dunia pada Jumaat.
Kelab itu mengumumkan berita sedih di media sosial menjelang perlawanan Liga Perdana mereka menentang Everton pada Sabtu di Molineux.
Menulis di platform X (dahulunya dikenali sebagai Twitter), kelab tersebut berkata: “Hati kami bersama Mario Lemina selepas pemergian bapanya pagi semalam.
“Kesemua ahli pasukan menghantar kasih sayang dan simpati kepada Mario dan keluarganya. Rakan sepasukannya akan memakai gelang tangan hitam hari ini (semalam) sebagai penghormatan kepada bapanya.”
Pasukan di bawah kendalian Gary O’neil ini telah mengungguli perlawanan selepas 25 minit, dengan Max Kilman menjaringkan bola ke gol selepas bergelut di dalam kawasan penalti.
Selepas menjaringkan gol, pemain pertahanan yang juga kapten pasukan itu meraikan jaringannya dengan menunjukkan sokongan kepada rakan sepasukannya dengan mengangkat baju Lemina bersama rakan pasukan yang lain.
Ia merupakan sebuah penghormatan yang menyentuh hati buat Lemina yang telah ke Perancis untuk bersama bapanya sepanjang sambutan Hari Natal.
Sebagai respon kepada hantaran itu, pasukan lawan, Everton turut menulis: “Berita yang menyedihkan. Fikiran kami bersama Mario dan keluarganya pada masa ini.”
Lemina sebelum ini telah mendedikasikan golnya semasa kemenangan 2-1 Wolves menentang Chelsea pada malam Hari Natal kepada bapanya, dan mengesahkan bapanya berada di hospital selepas perlawanan.
“Saya ingin menyampaikan pesanan kepada bapa saya. Dia berada di hospital, sudah dua bulan sekarang,” katanya kepada Sky Sports selepas perlawanan.
“Dia sedang berjuang dan keluarga saya ada di sekelilingnya sekarang. Saya ingin berada di sana bersamanya, tetapi saya perlu melakukan tugas saya. Ayah, teruskan usaha! Kami semua bersama.”
Menjelang perlawanan Sabtu menentang Everton, pengurus Wolves, O’Neil mengucapkan takziah kepada Lemina dengan menyatakan bahawa dia telah pulang ke rumah untuk bersama keluarganya.
“Mario telah pulang ke Perancis untuk menyelesaikan isu keluarga, saya tidak mahu bercakap terlalu banyak tentang ini kerana itu bukan tempat saya,” kata O’Neil pada Jumaat.