TERKEJUT perlu tampil sebagai perseorangan pertama, Leong Jun Hao bagaikan tidak cukup bersedia dari segi mental, apabila turun beraksi pada final Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC).
Turun ke gelanggang berbekalkan kemenangan ke atas Weng Hong Yang pada pertemuan di Malaysia Masters 2022, aksi canggung Jun Hao gagal menyumbang mata pertama negara ketika menentang China, apabila pemain ranking ke-38 dunia itu tunduk 19-21, 17-21.
“Saya memang terkejut perlu bermain sebagai perseorangan pertama, tetapi sedar tetap akan diturunkan. Saya hanya persiapkan diri seperti biasa walaupun tahu mengenai perkara berkenaan pagi ini,” kata Jun Hao.

Leong Jun Hao tidak mampu menghadiahkan mata pertama kepada pasukan negara.
Jun Hao terpaksa menggalas tugas selaku perseorangan pertama, selepas Lee Zii Jia mengalami masalah kesukaran bernafas akibat resdung selepas aksi separuh akhir dengan Jepun semalam.
Seorang lagi perseorangan lelaki, Ng Tze Yong pula bergelut dengan kecederaan belakang yang dialaminya sejak Terbuka Malaysia bulan lalu.
Ditanya mengenai aksi menentang Hong Yang, Jun Hao berkata, rekod kemenangan sebelum ini di Malaysia Masters adalah sejarah lama.

Rekod pertemuan Leong Jun Hao dan Weng Hopng Yang kini seimbang, 1-1.
“Sekarang adalah aksi berpasukan tetapi saya rugi juga melepaskan beberapa mata tetapi saya tetap bersedia hari ini walaupun dapat mengetahui perlu menjadi pemain perseorangan pertama pada saat akhir,” katanya.
Selepas Jun Hao, Eogene Ewe disenarai sebagai perseorangan kedua manakala pemain beregu lelaki, Haikal Nazri diletakkan harapan perseorangan ketiga.