BEREGU wanita, Pearly Tan-M Thinaah akan membawa semangat baharu apabila bakal bergelar pasangan beregu wanita nombor dua dunia, menjelang pertemuan getir menentang gandingan tuan rumah di separuh akhir Terbuka China esok.
Pasangan negara itu menampilkan aksi bertenaga ketika menyingkir pemain Jepun, Yuki Fukushima-Mayu Matsumoto 21-16, 21-12 pada aksi suku akhir di Gimnasium Pusat Sukan Olimpik, Changzhou.
Kemenangan straight set itu bukan sahaja mengesahkan kemaraan ke separuh akhir, malah meletakkan Pearly-Thinaah mengatasi pasangan Jepun, Chiharu Shida-Nami Matsuyama dalam ranking dunia yang bakal dikemaskini minggu hadapan.
Lawan yang menanti di separuh akhir ialah beregu nombor tujuh dunia, Jia Yi Fan-Zhang Shu Xian yang sebelum ini menyingkirkan rakan senegara, Go Pei Kee-Teoh Mei Xing.
Empat pertemuan sebelum ini menyaksikan wakil China menang tiga kali, namun Pearly-Thinaah dilihat semakin matang dengan kejuaraan di Terbuka Thailand dan tiga aksi final tahun ini.